suria

Mula-mula penjaga tak percaya, anggap murid cakap mengarut... rombongan tadika cemas ada ular dalam bas!

Seekor ular melingkar di atas sebuah beg milik seorang murid tadika.

ROMBONGAN sekumpulan murid tadika bertukar menjadi detik mencemaskan apabila bas yang dinaiki mereka menerima 'tetamu yang tidak diundang'.

Rakaman menunjukkan seekor ular melingkar di sebuah beg salah seorang murid, dikongsi oleh seorang wanita di laman sosial.

"Berdebar, tiba-tiba anak ular jatuh dari atas bas," katanya menerusi keterangan video.

Berkongsi detik cemas, wanita berkenaan, Azulia Ibrahim berkata, kejadian berlaku semasa sekumpulan murid di sebuah tadika di Marang, Terengganu membuat lawatan pada 30 Ogos lalu.

Ibu berusia 35 tahun itu memberitahu, dia merupakan salah seorang penjaga yang turut serta dalam lawatan bagi menemani anak lelakinya berumur enam tahun.

"Masa tu kami menaiki bas, dalam perjalanan pulang dari lawatan di sekitar Marang tiba-tiba salah seorang murid beritahu ada ular sawa.

"Penjaga kata jangan cakap mengarut. Tapi selepas tu dia menjerit apabila ada seekor ular betul-betul jatuh dekat atas tempat duduk di hadapan dia," katanya kepada mStar.

ular dalam bas 2

Ular dipercayai jatuh dari bahagian atas bas.

Mengimbas kembali, kata Azulia, suasana panik tercetus di dalam bas ketika itu menyebabkan pemandu memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Alamak, tak matilah! Dua sahabat lari lintang pukang selepas 'acah berani' tarik ular sawa kekenyangan - "Kami excited dapat tengok depan mata"

ARTIKEL BERKAITAN: Ular sawa baik punya 'lepak' dalam bonet kereta, memang seriau! Tapi ada pula terbayang beg Christian Dior

"Tempat ular jatuh di kerusi di tengah bas, jadi murid-murid bersama penjaga yang duduk di bahagian depan bergegas keluar dari bas dahulu.

"Manakala mereka yang lain di bahagian belakang termasuk saya dan anak terperangkap, dan hanya duduk di tempat masing-masing bagi mengehadkan pergerakan.

"Tak pasti ular apa, tapi ia kelihatan seperti ular lidi. Panjangnya kira-kira satu meter. Entah dari mana datangnya, mungkin dari tempat simpan barang di bahagian atas," ujarnya yang menetap di Marang.

ular dalam bas 3

Pemandu bas cuba menghalau keluar seekor ular.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, pemandu bas datang ke tengah bas cuba untuk menghalau reptilia itu sambil menghubungi rakannya menerusi panggilan video.

Tambah Azulia, pemandu bas itu kemudian mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung berdekatan dan ular tersebut berjaya dibawa keluar selepas 15 minit.

"Pemandu bas pun geli dengan ular. Apatah lagi kami penjaga dalam kalangan ibu-ibu bersama anak-anak lagi takut.

Pengalaman yang tak dapat dilupakan, macam dalam filem cerita orang terperangkap dengan ular.

AZULIA

"Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan berlaku. Ular tu pun mungkin tidak berbisa. Tapi kami mana tahu ular tu berbisa ke tidak," katanya sambil menambah terdapat kira-kira 10 murid tadika mengikuti lawatan itu, tidak termasuk penjaga.

Azulia yang merupakan suri rumah memberitahu, perjalanan pulang ke tadika diteruskan, sambil mengakui rata-rata mereka trauma dengan insiden yang berlaku.

ular dalam bas 4

Seekor ular kemudian jatuh di kawasan kerusi.

"Perjalanan balik dari tempat berhenti kira-kira 30 minit. Sepanjang masa saya tak tenang, dok melilau tengok atas kalau ada ular, kalau ada anak ular, mungkin ada bapa atau mak ular atau sarangnya... entah dari mana muncul tiba-tiba.

"Susulan kejadian ini, saya berharap pihak penyedia pengangkutan awam atau sewa kena sentiasa buat pemeriksaan di dalam kenderaan, lebih-lebih lagi yang jarang digunakan.

"Saya nasihatkan mana-mana pemandu bas juga perlu ada pengetahuan atau kemahiran asas bagi menangani kejadian seumpama ini," katanya.

Malah kata Azulia, dia sendiri kini lebih berjaga-jaga setiap kali menaiki kereta berikutan banyak laporan berita mengenai ular masuk ke bahagian enjin kenderaan.

"Syukur bukan ular berbisa seperti ular tedung dan semuanya selamat. Pengalaman yang tak dapat dilupakan, macam dalam filem cerita orang terperangkap dengan ular," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain