suria

Tak kisah beg berat! Lelaki ini sanggup bawa bungkusan khas dari Malaysia demi beri makan kucing di Makkah, Madinah

Izamal membawa makanan kucing dari Malaysia sebelum berangkat ke tanah suci pada 4 Januari lalu.

KUNJUNGAN kali pertama lelaki ini ke tanah suci Makkah pada Januari lalu ternyata meninggalkan memori cukup bermakna.

Lebih istimewa, Mohd Izamal Mohd Noor, 37, turut membawa sebungkus makanan kucing seberat 1.8 kilogram (kg) untuk diagihkan kepada haiwan comel itu di sekitar Makkah dan Madinah.

Bercerita kepada mStar, bapa kepada dua cahaya mata itu mendedahkan dia sudah lama memasang niat berkenaan memandangkan dirinya juga merupakan pencinta kucing.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki! Pemuda ini pernah berdoa nak belajar di Madinah, selepas 4 tahun terkejut dimakbulkan walau result tak berapa bagus

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah pandemik! Kesabaran gadis berbalas dapat tunai umrah kali ke-2 dengan BFF, lebih tenang di Raudah... tapi reda tak dapat sentuh Kaabah

"Keluarga saya dan keluarga mentua, kedua-duanya memang keluarga pencinta kucing. Kami selalu bagi makan kepada kucing-kucing di kedai, mahupun kucing jalanan.

"Alang-alang nak pergi umrah bersama isteri dan ibu, saya pun bawa makanan kucing dari Malaysia. Sebelum ini, ada kenalan pernah buat juga. Saya bawa satu beg saja, memang dari awal dah niat nak sedekah untuk kucing-kucing di sana.

"Sepanjang berada di tanah suci, saya temui banyak kucing-kucing jalanan. Ada kucing yang cukup sifat, ada juga kucing buta dan sebagainya. Ketika bagi makan, ada juga orang yang pandang pelik, tapi saya tak kisah sebab memang suka kucing," ujarnya berseloroh.

Senang disapa Izamal, dia yang berangkat ke Makkah pada 4 Januari lalu telah kembali ke tanah air pada 16 Januari.

izamal3

Izamal menunaikan umrah bersama ibu dan isterinya.

Menurut Izamal, isterinya Lubaina Muha, 37, turut berkongsi rakaman video ketika dia menyantuni kucing-kucing di Madinah menerusi aplikasi TikTok.

Tanpa disangka-sangka, video itu sehingga kini meraih hampir 80,000 tontonan dan dibanjiri dengan pelbagai komen netizen.

Hiba hati ini dapat tengok Kaabah, dapat ziarah makam Rasulullah dan berkunjung ke tempat sirah nabi.

IZAMAL

"Isteri saya yang kongsi video ke TikTok. Tiba-tiba ia dapat perhatian ramai. Alhamdulillah, mungkin rezeki kucing. Kami pun tiada niat nak riyak, cuma nak tunjukkan kebaikan yang kita boleh lakukan.

"InsyaAllah murah rezeki kalau kita beri makan pada haiwan. Haiwan ini seperti pokok, mereka sentiasa berzikir. Mungkin dalam secebis rezeki yang kita kongsi, ia akan doakan kita juga," ujar Izamal yang mengusahakan bisnes tudung bersama isterinya.

Menurut Izamal, dia dulu pernah membela kucing, namun sudah berhenti kerana tidak sampai hati melihat haiwan-haiwa peliharannya mati dilanggar kereta dan dimakan anjing.

"Dulu memang saya bela, tapi banyak mati kena langgar, ada yang kena makan dengan anjing. Saya jadi kesian. Jadi sekarang saya hanya main dengan kucing-kucing di rumah ibu saya dan rumah mentua.

izamal2

Izamal kembali ke tanah air pada 16 Januari lalu.

"Walaupun dah tak bela, saya memang sentiasa sediakan makanan kucing. Memang ada kucing-kucing jalanan yang selalu datang ke rumah saya," ujarnya.

Bercerita mengenai pengalaman pertama kali mengerjakan umrah, Izamal akui bersyukur dapat menjadi tetamu Allah biarpun dalam kunjungan yang singkat.

"Ini kali pertama ke sana. Awalnya saya fikir isteri main-main saja. Memang kelam kabut, persiapan dibuat dua minggu sebelum berangkat.

"Dalam hati rasa takut, takut tersalah rukun dan sebagainya, maklumlah kali pertama nak buat umrah. Tapi Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun ada SOP (Prosedur Operasi Standard) di sana.

"Hiba hati ini dapat tengok Kaabah, dapat ziarah makam Rasulullah dan berkunjung ke tempat sirah nabi. Dulu saya belajar dan tengok di TV, akhirnya dapat lihat dan rasai sendiri," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain