suria

Usia kandungan masuk minggu ke-24, wanita ini mula takut... semuanya kerana peristiwa hitam hamil anak pertama - “Saya cuba pastikan ia tak berlaku lagi”

Pengalaman melahirkan bayi pramatang membuatkan seorang ibu ini trauma dan bersungguh-sungguh menjaga kandungan seterusnya.

BAGI setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga, sudah pasti mereka menginginkan zuriat sebagai penyeri dan penyambung keturunan.

Namun rezeki setiap pasangan berbeza-beza. Ada yang tidak perlu menunggu lama untuk bergelar ibu dan bapa, ada pula yang dikurniakan cahaya mata selepas lebih 10 tahun berkahwin.

Ada juga wanita yang diberikan rezeki untuk hamil namun mengalami pelbagai komplikasi ketika kehamilan, sebagaimana kisah yang dilalui oleh wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ila Fyra ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya mimpi lihat bulan mengambang besar” - Doktor pun diuji! Empat anak meninggal, wanita dedah ‘rahsia’ zuriat ke-5 selamat dilahirkan

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tragedi’ 27 Oktober! Bayi sepatutnya dibelai di pangkuan akhirnya dipangku ke pusara - “Dah makan, anak dalam kandungan masih tak bergerak”

Meskipun sudah 14 tahun berlalu, apa yang dialaminya masih segar dalam ingatan dan pastinya tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

"Semasa itu saya bekerja dan masih belajar separuh masa di UKM. Ada kes pendarahan dan saya dimasukkan ke hospital. Disebabkan ini kali pertama, saya juga tiada pengalaman. Saya keluar wad dan berehat. Kemudian ada pendarahan lagi, masuk wad lagi dan kemudian keluar wad lagi.

"Di hospital saya dah mula rasa sakit kontraksi tetapi doktor benarkan saya balik. Sudahnya malam tersebut sakit semakin kerap dan saya kembali ke hospital. Masa tu dah buka 4cm dan doktor cuba bagi ubat untuk elakkan kontraksi datang lagi.



Pengarang jantung Ila Fyra ketika mereka masih kecil.

"Hanya sehari saya dapat bertahan, esoknya saya melahirkan bayi tersebut ketika usia kandungan 24 minggu, 6 hari seberat 635gram. Bayi kemudiannya meninggal dunia dua hari kemudian," katanya kepada mStar.

Menurut wanita ini, pengalaman mengalami komplikasi ketika kehamilan sehingga kehilangan bayi meninggalkan trauma yang bukan kepalang sehingga dia mengambil masa selama empat tahun sebelum hamil untuk kali kedua.

Untuk kehamilan yang baharu, Ila Fyra berkata dia mempersiapkan diri dengan menimba sebanyak mungkin ilmu mengenai kehamilan demi mengelakkan kandungannya mengalami komplikasi yang menyebabkannya melahirkan bayi pramatang sekali lagi.

"Saya memang trauma dengan kematian anak, jadi saya berjanji pada diri sendiri yang jika hamil lagi, saya akan cuba pastikan ia tidak berlaku lagi.

"Dalam masa empat tahun tersebut saya memang banyak membaca dan ada berjumpa beberapa doktor untuk mendapatkan pandangan. Jadi saya faham apa yang saya perlu sekiranya saya mengandung lagi," ujar wanita berusia 41 tahun ini.



Kedua-dua putera Ila Fyra kini berusia 10 tahun dan tujuh tahun.

Terpaksa menjalani beberapa rutin yang agak 'ketat' antaranya pengambilan ubat, cerclarge (jahitan pangkal rahim) serta berehat sepenuhnya daripada kerja-kerja rumah sepanjang kehamilan seterusnya, namun menurut wanita, semuanya dilakukan demi memastikan kandungannya bertahan dan sihat.

"Hanya satu sahaja yang menguatkan diri saya iaitu untuk memastikan bayi saya sihat dan kekal di dalam kandungan sehingga cukup bulan. Pada ketika itu, hanya saya satu-satunya harapan bayi untuk bertahan.

"Saya juga tidak sanggup sekiranya bayi dilahirkan pramatang lagi kerana cabaran membesarkan bayi pramatang sangat sukar.

Saya memang trauma dengan kematian anak, jadi saya berjanji pada diri sendiri yang jika hamil lagi, saya akan cuba pastikan ia tidak berlaku lagi.

ILA FYRA

IBU

"Semasa mengandungkan anak kedua, saya masih lagi rasa sedih dan takut terutama bila kandungan masuk ke minggu 24. Maklumlah anak pertama dulu lahir dan meninggal pada masa tersebut.

"Alhamdulillah doktor pakar saya banyak memberikan semangat. Memandangkan saya juga telah mengikuti semua rutin yang dicadangkan oleh doktor, saya lebih bersedia dan bertawakal," ujarnya yang kini memiliki dua cahaya mata lelaki berusia 10 tahun dan tujuh tahun.

Menurut wanita ini lagi, dia terpanggil berkongsi pengalaman di Facebook kerana mendapat permintaan ramai kenalan agar kisahnya dijadikan panduan dan inspirasi buat wanita lain.



Pengalaman melahirkan bayi pramatang tidak akan dapat dilupakan oleh Ila Fyra. Gambar hiasan.

"Saya kesian dengan rakan-rakan yang mengalami nasib yang sama. Setiap kehamilan tidak sama. Mungkin kita boleh hamil sambil membuat aktiviti berat, kandungan selamat sahaja tetapi ada orang yang bergerak sedikit pun, ia boleh mengancam nyawa bayinya.

"Maka nasihat saya pada mereka yang tidak mempunyai sebarang masalah semasa kehamilan, bersyukurlah dengan kelebihan kita dan sama-sama menyokong mereka yang tidak seperti kita.

"Selain itu jika suami tidak memahami, masih harapkan isteri buat kerja rumah, masih inginkan aktiviti seksual dan lain-lain sedangkan ia boleh membahayakan bayi dalam kandungan.

"Paling penting, kuatkanlah mental dan fizikal. Fokus pada bayi dan diri kita," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain