suria

Tak puas hati abang malas kerja, adik kandung libas kaki dengan pisau

Tindakan mencederakan orang lain dengan sengaja merupakan satu perbuatan jenayah. -Gambar hiasan

AKIBAT sudah tidak tahan menanggung keluarga sendirian, seorang pemuda bertindak menetak abangnya yang tidak bekerja.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi Khamis, suspek yang berusia 20 tahun itu mencederakan mangsa berumur 25 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga mengalami luka parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, pihaknya menerima laporan kejadian pergaduhan dua beradik berkenaan daripada salah seorang ahli keluarga mereka.

“Siasatan awal mendapati mangsa bertengkar dengan suspek sehingga suspek bertindak mengambil sebilah pisau dan melibas ke arah kakinya.

“Mangsa dibawa ke Hospital Ampang dan pegawai perubatan mengesahkan dia mengalami kecederaan luka torehan pada betis dan siku kanan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Tambah Azam, polis menahan suspek yang bekerja sebagai kelindan lori di Bandar Baru Ampang, Selangor selepas menerima laporan pada pukul 9.50 malam hari yang sama.

Selain itu, polis turut merampas pisau berukuran 30 sentimeter (cm) yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

“Siasatan mendapati motif kejadian itu berpunca daripada masalah kewangan sehingga suspek bertindak mengambil pisau dan melibas ke arah kaki mangsa,” katanya.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan dia akan direman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain