suria

Ramai tak sabar nak sambut Aidiladha di kampung halaman, trafik dijangka sesak bermula 8 hingga 11 Julai

Trafik dijangka sesak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai. Foto: Azman Ghani/ The Star.

TRAFIK dijangka sesak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai ini.

Pengurus Besar Kanan Syarikat Konsesi Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, sebanyak 1,648,000 kenderaan dijangka menggunakan KLK manakala 704,000 menggunakan LPT1 bermula 8 hingga 11 Julai.

ARTIKEL BERKAITAN: Aidiladha disambut 10 Julai

"Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan keselesaan dan keselamatan untuk semua, nasihat masa perjalanan akan dikeluarkan sebagai peringatan semasa musim perayaan,” kata Radzimah pada Isnin.

Bberdasarkan trend hujung minggu sejak awal tahun, purata hujung minggu harian bagi lebuh raya KLK ialah 161,000 kenderaan manakala jumlah di LPT1 dicatatkan sebanyak 65,000 kenderaan.

“Antara langkah yang diambil Anih Berhad untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pada musim perayaan kali ini ialah penambahan pegawai dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong tambahan sekiranya trafik meningkat, bagi membantu melancarkan aliran trafik di lebuh raya dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan di semua kemudahan lebuh raya termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua perhentian dan kawasan rehat,” kata Radzimah.

Dia turut mengingatkan pengguna untuk memandu dengan berhati-hati, memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan optimum, menyemak baki Touch n’ Go dan SmartTag mereka serta memastikan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Maklumat yang tepat dan terkini boleh disemak di Twitter @LLMTrafik, @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia, @Lebuhraya Pantai Timur atau talian hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1-700-818- 700. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain