suria

Tindakan kepada penjawat awam yang gagal mengambil vaksin bermula esok

Tindakan kepada penjawat awam yang gagal mengambil vaksin bermula esok

KERAJAAN bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang gagal mengambil vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan bermula esok, 1 November.

Ini berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 18 Oktober lalu, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

ARTIKEL BERKAITAN : Penjawat awam wajib lengkapkan vaksin sebelum 1 November

Menurut pekeliling tersebut, langkah berkenaan diambil bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap optimum.

Penjawat awam dikatakan tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan adalah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Tindakan tatatertib itu juga merangkumi hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Setakat 30 Oktober lalu, seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

covid-19, penjawat awam, vaksin, suntikan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain