suria

Menyayat hati... lelaki parah dilanggar kereta api, mayat dikerumuni anjing

Mayat mangsa dipercayai dilanggar keretapi mengalami kecederaan parah di leher dan dada. Foto: Sinar Harian

MAYAT seorang lelaki dipercayai dilanggar kereta api, ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh orang awam di Batu 62, Beaufort pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di landasan kereta api serta dikerumuni oleh beberapa ekor anjing.

Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 5.20 petang daripada seorang pemandu kereta api berusia 47 tahun.

"Pemandu terbabit mengatakan dia dimaklumkan oleh Ketua Stesen Keretapi Beaufort terdapat satu mayat ditemui di landasan kereta api dipercayai dilanggar kereta api.

"Mayat itu ditemui oleh seorang lagi pemandu kereta api jenis kecil kira-kira pukul 3.30 petang ketika dalam perjalanan dari Stesen Halogilat menuju ke Beaufort untuk mengambil barang.

"Pemandu itu memaklumkan ternampak satu objek di atas landasan kereta api yang dikerumuni beberapa ekor anjing dan selepas dihampiri, objek terbabit adalah mayat," katanya.

Azmir berkata, pemandu kereta api kecil itu kemudian menghubungi Ketua Stesen Keretapi Beaufort untuk memaklumkan kejadian itu.

"Ketua stesen kemudian memaklumkan kejadian kepada pengadu yang juga pemandu kereta api yang bertugas pada hari itu.

"Pengadu memaklumkan, pada pukul 1.30 tengah hari, dia memandu kereta api dari Stesen Beaufort menuju ke Stesen Halogilat dan selepas menurunkan penumpang dia kemudian berpatah balik ke Stesen Beaufort dan tiba kira-kira pukul 3 petang.

"Namun sepanjang perjalanan pergi dan balik beliau tidak mengesan sesiapa berada di landasan serta tidak menyedari pun berlaku kemalangan sehingga dimaklumkan ketua stesen," katanya.

Mangsa yang parah di bahagian leher dan dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, kata Azmir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk dibedah siasat dan kes masih dalam siasatan polis.

Ketika ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain