suria

Bapa 2 anak hadapi 5 pertuduhan termasuk hubungan seks dan rompak

Bapa dua anak itu juga didakwa merompak mangsa dengan mengambil seutas rantai leher, seutas rantai kaki dan wang tunai RM953 dengan bersenjatakan sebilah pisau di lokasi, masa dan tarikh sama. FOTO: SAMUEL ONG/The Star.

SEORANG pekerja kontrak menerima padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang, Selangor pada Jumaat atas empat pertuduhan.

Pertuduhan itu melibatkan persetubuhan luar tabii, mencabul, melakukan hubungan seks dan merompak seorang pekerja sebuah spa di Bangi, minggu lalu.

Noor Hezree Mohd Arifin, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul dan melakukan hubungan seks tanpa kebenaran terhadap mangsa wanita berusia 31 tahun di sebuah spa di Bandar Seri Putra, Bangi, pada jam 12.30 tengah hari, 12 November lalu.

Bagi pertuduhan persetubuhan luar tabii dan melakukan hubungan seks tanpa kebenaran, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan maksimum 30 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan mencabul pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bapa dua anak itu juga didakwa merompak mangsa dengan mengambil seutas rantai leher, seutas rantai kaki dan wang tunai RM953 dengan bersenjatakan sebilah pisau di lokasi, masa dan tarikh sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dikhuatiri tertuduh akan menganggu mangsa.

“Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah tidak menggunakan budi bicara untuk membenarkan ikat jamin atas alasan tertuduh adalah seorang yang ganas selain pernah melarikan diri ketika di bawah tahanan polis semasa mengambil sampel DNA (asid deoksiribonukleik) di Hospital Kajang, ” katanya.

Noor Hezree yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan dia perlu menanggung isteri serta dua anak masing-masing berumur 10 dan 11 tahun.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini, Noor Hezree mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melarikan diri daripada jagaan anggota polis, Lans Koperal Muhammad Afendi Mahadi di bilik rawatan Hospital Kajang pada jam 11.40 pagi, 13 Nov lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh berdepan empat pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen dan tidak dibenarkan diikat jamin.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan bahawa dia perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Jan ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain