suria

Covid-19: Darurat mungkin perlu diisytiharkan di Gerik jika kes melonjak - MB Perak

Ahmad Faizal melawat booth ketika merasmikan Program Projek Khas Tani Covid-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto: The Star/Ronnie Chin

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pengisytiharan darurat di Gerik sebagaimana di Parlimen Batu Sapi, Sabah mungkin perlu dilaksanakan sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.

Menurut Ahmad Faizal, pengisytiharan darurat itu dapat membantu memutuskan rantai Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Istana Negara: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

"Tumpuan utama kita sekarang adalah memerangi Covid-19. Saya secara peribadi percaya bahawa politik bukanlah keutamaan.

"Tetapi memandangkan kerana kita mengamalkan sistem demokrasi, adalah lebih elok untuk serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan pilihan raya kecil terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Projek Khas Tani Covid-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh pada Khamis.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersetuju mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu yang sepatutnya diadakan pada 5 Disember depan.

Kerusi Parlimen Gerik kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman akibat serangan jantung, pada Selasa (17 November).

Susulan itu, Dewan Rakyat pada Rabu telah mengemukakan pemberitahuan kekosongan luar jangka kerusi Ahli Parlimen Gerik kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, selaras Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka Parlimen Gerik, Perak dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan SPR bahawa ada kekosongan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menyifatkan Allahyarham Hasbullah merupakan seorang ahli Parlimen yang banyak berjasa kepada penduduk di Gerik.

"Saya mengenalinya sejak di bangku sekolah dan menganggapnya sebagai abang.

"Hasbullah telah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk orang-orang di Gerik," katanya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain