suria

4 kes positif direkodkan, Bukit Broga ditutup kepada orang ramai mulai Sabtu

Empat kes positif direkodkan pada Khamis, kesemuanya membabitkan warganegara Malaysia.

PERKEMBANGAN kes Covid-19 di Malaysia merekodkan empat kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,600 kes setakat Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 208 kes di mana pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Daripada empat kes baharu yang dilaporkan, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia.

"Satu kes penularan di dalam negara juga membabitkan warganegara Malaysia iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor," katanya dalam satu kenyataan Khamis petang.

Beliau juga memaklumkan tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 121 kes.

Sehingga hari ini, 40 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,271 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, dua kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM turut mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga berkuatkuasa Sabtu ini sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Perintah mengikut Seksyen 18, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan susulan penularan isu terlalu ramai pengunjung ke kawasan rekreasi tersebut.

"SOP dan normal baharu yang sering ditekankan kerajaan sememangnya bertindak sebagai sistem pertahanan Negara kita terhadap penularan wabak Covid-19.

"Justeru, KKM menyeru orang ramai supaya tidak alpa dan mengambil mudah dengan pematuhan kepada SOP dan normal baharu.

"KKM berharap segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 diteruskan oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, Dr Noor Hisham, KKM, Bukit Broga

Artikel Lain