suria

Kontroversi Sugarbook, Hannah Yeoh anggap ia ibarat penggera untuk ibu bapa - “Kenapa anak muda lebih pentingkan wang berbanding nilai?”

Susulan kontroversi iklan Sugarbook, Hannah Yeoh membangkitkan persoalan berkaitan nilai yang dipegang anak muda masa kini.

KONTROVERSI iklan aplikasi temu janji  berbaur lucah yang mempromosikan tawaran 'sugar daddy', Sugarbook, turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Mengulas isu kontroversi tersebut di Facebook, Hannah membangkitkan persoalan berkaitan nilai yang dipegang anak muda masa kini.

“Saya diberitahu bahawa terdapat banyak aplikasi dan laman yang sama (seperti Sugarbook) dalam talian. Soalan sebenar harus ditanya - kenapa orang muda hari ini lebih mementingkan wang daripada nilai-nilai?,” tulisnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan pantas tarik balik iklan promosi 'sugar daddy' wajar dipuji tapi DBKL kena tegas, perlu perjelas SOP kepada orang awam

Tambah Hannah, apa yang berlaku ini ibarat penggera untuk membuka mata ibu bapa mengenai cabaran sebenar dalam mendidik anak-anak.

Justeru Hannah berkata beliau menyokong sebarang gesaan terhadap pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu.

Terdahulu, iklan aplikasi temu janji berunsur lucah yang mempromosikan tawaran ‘sugar daddy’ kepada wanita muda menjadi tular di internet.

Paparan iklan digital itu dapat dilihat di beberapa lokasi di sekitar Bangsar dan Bukit Kiara.

Difahamkan, ia dipaparkan sejak 3 Disember lalu di dua lokasi berkenaan dengan menggunakan ungkapan “Di sinilah bertemunya yang cantik dan berjaya”.

Rata-rata netizen meluahkan rasa marah dan menggesa agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap perkara itu.

Dalam satu kenyataan, Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL tampil memaklumkan bahawa iklan tersebut tidak mendapat kebenaran pihaknya dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

DBKL pada Rabu telah telah mengarahkan struktur papan iklan di Bangsar dan Bukit Kiara ditarik serta- merta.

Hannah Yeoh, Sugarbook, iklan, lucah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain