suria

Cik Puan Muda Pahang kemalangan

Keadaan kenderaan MPV dinaiki Cik Puan Muda Pahang selepas terlibat kemalangan di KM25 Jalan Kota Tinggi - Mersing pagi Khamis. Foto Sinar Harian

KERABAT diraja Pahang, Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Muda Julita Aishah Abdul Latiff cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dinaiki terlibat kemalangan di KM25 Jalan Kota Tinggi - Mersing pagi Khamis.

Kemalangan melibatkan sebuah lori yang berlaku kira-kira jam 9 pagi itu telah menyebabkan Julita Aishah mengalami kecederaan di pinggang.

Sementara pemandu kenderaan dan seorang warga Filipina yang menaiki kenderaan sama tidak mengalami kecederaan.

Bagaimanapun pemandu lori jenis Isuzu berusia 53 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati MPV dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Kuantan, Pahang.

"Semasa melalui tempat kejadian di satu selekoh di KM25 Jalan Kota Tinggi- Mersing dipercayai MPV telah berlanggar dengan sebuah lori.

"Pemandu lori berusia 53 tahun mendapat kecederaan bahagian kaki dan dirujuk ke Hospital Mersing.

"Pemandu MPV berumur 24 tahun tidak mengalami kecederaan. Seorang penumpang wanita mengalami sakit pinggang dan dirujuk ke Hospital Kuantan Pahang.

"Manakala seorang lagi penumpang wanita tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pihak polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987.

Sementara itu, memetik laporan Astro Awani, Cik Puan Muda Julita kini menerima rawatan di hospital pakar KPJ Pahang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau mengalami kecederaan pinggang akibat kemalangan itu. - Sinar Harian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain