suria

“Henti membawang, beri peluang kepada Latheefa Koya” - Mohd Shukri

Gambar fail Mohd Shukri Abdull.

BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, beliau telah memberikan sokongan penuh kepada penggantinya.

Mohd Shukri berkata, beliau tidak mempersoalkan perlantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu, dan menggesa pengkritik memberi peluang kepadanya.

"Hentikan membawang dan beri peluang kepada Latheefa Koya," katanya.

"Jika kita membawang mengenai pelantikannya, ia hanya membazir masa.

"Berilah sokongan kepada beliau, biarkan beliau bertugas dengan sebaik mungkin," tambahnya.

Mohd Shukri berkata demikian pada sidang media, Sabtu bagi menjawab mengenai spekulasi mengenai peletakan jawatannya.

"Sama ada beliau bebas atau tidak, kita akan lihat, tetapi beri peluang kepadanya, saya percaya beliau akan melakukan yang terbaik untuk SPRM dan negara kita," katanya.

Mohd Shukri berkata, tiada masalah dengan Latheefa sebagai orang luar di dalam SPRM kerana beliau akan mempunyai pegawai berpengalaman menyokongnya.

"Jangan risau (mengenai Latheefa orang luar dari SPRM) kerana mereka yang melakukan kerja itu adalah pegawai SPRM. 

"Apabila saya menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, tugas saya hanya untuk menggerakkan pegawai melakukan siasatan," katanya.

Beliau menambah, pengalaman Latheefa sebagai peguam akan bermanfaat kerana dapat menggabungkan idea-idea korporat dengan inisiatif kerajaan.

"Ia akan berjalan dengan lancar," katanya, sambil menambah bahawa beliau mempunyai keyakinan terhadap pegawainya.

Mohd Shukri berkata, adalah penting bagi Latheefa untuk bekerjasama rapat dengan pegawai SPRM, dan juga bagi pegawai-pegawai untuk menawarkan bimbingan kepada beliau sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Beliau juga memberikan tiga nasihat kepada penggantinya untuk menjadi pemimpin yang baik.

"Satu, lakukan perkara yang betul, tetapi itu tidak mencukupi, mesti dilakukan dengan cara yang betul.

"Dua, bebas, neutral dan tidak memihak. Jangan berpihak kepada mana-mana pihak, ini sangat penting.

"Dan akhirnya, menerajui tanpa rasa takut dan gentar, jangan takut tekanan, jangan malas, dan jangan takut digulingkan. Jangan tunduk kepada sesiapa pun.

"Dengan semua ini, saya percaya beliau akan menjadi ketua yang baik," kata Mohd Shukri.

Pelantikan Latheefa, yang diumumkan pada 4 Jun lalu mengejutkan banyak pihak.

Latheefa dilantik sebagai KP SPRM baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu, menggantikan Mohd Shukri yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.

Beliau kemudian meletak jawatan sebagai ahli PKR dan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia adalah keputusan peribadi beliau melantik Latheefa memegang jawatan itu, dan beliau tidak berunding dengan Kabinet mengenai perkara tersebut. 

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau telah mendengar pandangan pelbagai pihak dan membuat penilaian sebelum membuat keputusan. - The Star

Artikel Sebelum

Artikel Lain