suria

Tak dijemput, tapi duduk sebaris tetamu VIP... “Syed Abdullah tak wakili KBS, hadir sebagai peminat”

Syed Abdullah hadir pada Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan di Central i-City, Shah Alam Sabtu. Foto: Facebook ESM

KEHADIRAN Syed Abdullah yang dilihat seperti tetamu khas pada Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan di Central i-City, Shah Alam Sabtu tidak disenangi peminat sukan elektronik, lebih-lebih lagi tanpa kelibat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Abang kepada menteri berkenaan dilihat mendapat layanan VIP dan duduk sebaris dengan tetamu kehormat menyebabkan timbul spekulasi bahawa dia menggantikan adiknya yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut.

Bagaimanapun pihak penganjur Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) tampil memberi penjelasan bahawa kehadiran Syed Abdullah adalah atas kapasiti peribadi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak akan benarkan keluarga wakili saya, ia salah!” – Syed Saddiq jawab isu abang dapat layanan VIP

ARTIKEL BERKAITAN: Kejohanan Major KL Dota 2 bermula, Syed Saddiq mahu Malaysia jadi hab e-Sport utama Asean

"Persatuan ini memandang serius mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh masyarakat berhubung kehadiran Syed Abdullah dan mempertikaikan layanan yang diberikan oleh kami selaku penganjur ke atas abang Menteri Belia dan Sukan itu.

"Setelah penelitian semula dibuat, beliau (Syed Abdullah) tidak dijemput dan kehadiran beliau pada program tersebut bukanlah mewakili menteri ataupun Kementerian Belia dan Sukan.

"Namun kehadiran beliau adalah di atas kapasiti peribadi sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri sukan elektronik," ujar ESM dalam satu posting di Facebook lewat Isnin malam.

Presiden ESM Datuk Ananth S. Nathan (tengah) bersama Syed Abdullah (empat dari kanan) serta tetamu kehormat lain. -foto Facebook ESM

Isu ini timbul apabila pihak penganjur memuat naik posting bergambar di laman Facebooknya, Esports Malaysia selepas majlis berlangsung, petang Sabtu.

Menerusi posting tersebut, Syed Abdullah dilihat bergambar di sebelah Presiden ESM Datuk Ananth S. Nathan bersama barisan tetamu VIP yang lain.

Berdasarkan komen netizen, posting asal tersebut yang menunjukkan Syed Abdullah hadir atas kapasiti 'abang kepada Syed Saddiq' telah disunting. Posting yang telah dikemaskini menunjukkan nama Syed Abdullah telah dikeluarkan dari senarai tetamu, tetapi gambar-gambarnya kekal.

Posting asal senarai tetamu yang hadir sebelum disunting. -foto Facebook

ESM berkata, sebagai pihak penganjur pastinya penghormatan akan diberikan kepadanya serta ahli keluarga yang lain  menzahirkan sokongan kepada industri sukan tersebut.

"Sebagai contoh, sekiranya beliau hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, pihak penganjur pasti akan memberi penghormatan kepada beliau dan ahli keluarga lain yang hadir bagi menzahirkan sokongan kepada industri sukan tersebut.

"Kami selaku penganjur dan persatuan-persatuan eSports negeri pastinya berasa dihargai apabila ada wakil atau ahli keluarga menteri yang sudi hadir meluangkan masa untuk menyaksikan sendiri Sea Games Qualifier tersebut.

Sebahagian daripada komen netizen di laman ESM.

"Kami tidak berasa kecil hati meskipun Menteri Belia dan Sukan tidak dapat hadir ke acara Grand Final tersebut.

"Pasti beliau mempunyai tugasan yang lebih penting untuk didahulukan dan kami yakin, beliau sentiasa meletakkan agenda pembangunan belia dan sukan negara di atas segala-galanya," katanya.

Dalam masa sama, netizen turut melahirkan tidak berpuas hati dengan layanan penganjur yang tidak menyediakan hadiah serta kemudahan internet. 

Syed Abdullah, esports, grand final

Artikel Lain