suria

Mangsa dibakar suami akibat cemburu meninggal dunia

Gambar hiasan.

MANGSA kejadian dibakar suami dipercayai akibat cemburu di Taman Krubong Permai di Melaka pada 29 April lepas meninggal dunia di Hospital Melaka awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata S.Vijeyyenthi, 39, yang mengalami kecederaan parah akibat melecur kira-kira 70 peratus melibatkan anggota badan dan muka meninggal dunia kira-kira 3.30 pagi.

"Kes berkenaan yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dipinda ke Seksyen 302 KK iaitu menyebabkan kematian dan suspek masih direman untuk siasatan lanjut.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecedaraan parah," katanya.

Pada 30 April lepas, media melaporkan seorang wanita dibakar oleh suaminya menggunakan minyak petrol yang diambil daripada tangki motosikal milik mangsa.

Lelaki berumur 45 tahun itu berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di kawasan tempat pelupusan sampah di Krubong kira-kira 3 petang hari sama dan suspek mengaku membakar isterinya kerana mendakwa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. - BERNAMA

Artikel Lain