Sultan Pahang dipilih Agong baharu - Semasa | mStar

Sultan Pahang dipilih Agong baharu

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019. -fotoBERNAMA

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, petang Khamis.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Pelantikan itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Majlis Raja-Raja bermesyuarat untuk memilih Yang di-Pertuan Agong baharu susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lalu.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Sistem penggiliran dalam kala­ngan sembilan Raja-raja Melayu kini memasuki pusingan kedua yang menyaksikan Raja-raja Melayu dari enam negeri telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

"YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada 7 Januari berkata Majlis Raja-Raja memutuskan istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ditetapkan pada 31 Januari ini.

Sultan Pahang , Agong

Artikel Sebelum

Sultan Abdullah bijak santuni rakyat

Artikel Berikut

Lebih Artikel