TPM tak luluskan teks ucapan pada pelancaran EM-IIG - Semasa | mStar

TPM tak luluskan teks ucapan pada pelancaran EM-IIG

Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri tidak pernah meluluskan teks ucapan yang dibaca pada pelancaran projek jalur lebar berkelajuan tinggi Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Yang Dipertingkat (EM-IIG), Selasa.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan pada Selasa berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga tidak mewakilkan kepada sesiapa untuk membaca teks ucapan beliau pada majlis tersebut.

Menurut Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah tidak pernah sama sekali berkata bahawa kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada pelaksanaan projek EM-IIG.

"Laporan berita yang memetik ucapan daripada Timbalan Perdana Menteri berkaitan projek EM-IIG yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd adalah tidak benar," katanya.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri turut memberi amaran kepada semua organisasi supaya tidak menggunakan atau mengedarkan bahan seperti teks ucapan yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran.

"Menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran beliau adalah perkara yang serius," kata Pejabat Timbalan Perdana Menteri, sambil menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil jika situasi seperti itu berulang.

Menurut laporan media, teks ucapan Timbalan Perdana Menteri dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada majlis pelancaran projek EM-IIG di sebuah hotel di Shah Alam, Selasa.

Menurut laporan, projek bernilai RM5.45 bilion itu merangkumi pemasangan fiber gentian optik terbesar dunia melibatkan jajaran sepanjang 110,000 kilometer, yang membolehkan Malaysia bakal memiliki akses kelajuan internet terpantas yang menyediakan platform 5G pertama di Asia Tenggara.

Sementara itu, Mohd Rashid dalam satu kenyataan susulan kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu menafikan sekeras-kerasnya beliau mewakili Dr Wan Azizah ke majlis itu.

"Sebarang kenyataan yang menyatakan bahawa saya mewakili Timbalan Perdana Menteri adalah bertujuan untuk mengelirukan," katanya, serta menjelaskan kehadirannya atas jemputan penganjur ke majlis itu atas kapasiti sebagai bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Anggota Parlimen Batu Pahat itu menjelaskan beliau hadir bagi mendengar ucapan perasmian Timbalan Perdana Menteri dan tidak dijadualkan untuk memberi sebarang ucapan apatah lagi untuk merasmikan majlis tersebut.

"Setelah majlis bermula, saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa Timbalan Perdana Menteri tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan saya diminta untuk menyampaikan ucapan majlis tersebut.

"Saya telah diberikan teks ucapan oleh penganjur sebagai panduan dalam ucapan saya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rashid turut menggesa penganjur untuk segera bertindak memperbetulkan keadaan dan sekali gus membersihkan namanya daripada sebarang kekeliruan.

"Jika pihak penganjur tidak mengeluarkan sebarang penjelasan dan penafian, pihak saya tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka," tegasnya. - BERNAMA

Wan Azizah , TPM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel

Luar biasa! Air pancut dari pokok