Tunku Azizah dilantik Tengku Ampuan Pahang - Semasa | mStar

Tunku Azizah dilantik Tengku Ampuan Pahang

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. -fotoBERNAMA

PEKAN: Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dilantik menjadi Tengku Ampuan Pahang.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bertitah perkara itu diputuskan baginda dalam mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang diadakan di Pejabat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di sini Selasa.

Mesyuarat juga dimaklumkan tentang hasrat baginda melantik Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang yang baharu.

"Istiadat pemasyhuran akan diadakan pada 29 Januari ini di Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan," titah baginda ketika berkenan menemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.

Turut hadir Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mu'adzam Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - BERNAMA

Tunku Azizah pernah mencuri perhatian netizen kerana sikap bersahaja dan mesra dengan rakyat.

Menurut baginda, gelaran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota itu seelok-eloknya digunakan selepas istiadat pemasyhuran nanti.

"Tengku Hassanal akan pulang (pada 28 Januari), dan akan dimasyhurkan, kembali semula ke UK dan tamat pengajian hingga hujung tahun ini," titah baginda.

Manakala jawatan Tengku Panglima Besar yang disandang oleh Tengku Hassanal sebelum ini, Al-Sultan Abdullah bertitah jawatan itu akan dikosongkan sementara dan baginda akan mengenal pasti calon yang sesuai nanti.

Apabila ditanya pemberita tentang harapan baginda terhadap Tengku Hassanal yang akan dimasyhur menjadi Tengku Mahkota Pahang nanti, baginda bertitah: "Semua anggota keluarga dan rakyat Pahang khususnya dia (Tengku Hassanal) dapat mempamerkan satu watak yang baik dan boleh menjadi seorang pemimpin kepada rakyat negeri Pahang."

"Sama-samalah kita beri tunjuk ajar kepada orang muda ini," titah baginda.

Sultan Pahang keenam itu turut memaklumkan akan menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada Khamis ini di ibu negara, yang diadakan bagi memilih Yang di-Pertuan Agong baharu Raja-raja Melayu.

Tunku Azizah yang bakal dimasyhurkan nanti merupakan Tengku Ampuan Pahang dalam sejarah Kesultanan Pahang Moden.

Baginda dilahirkan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor, melangsungkan perkahwinan dengan Al-Sultan Abdullah pada 6 Mac 1986 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Hasil perkahwinan itu, baginda berdua dikurniakan enam cahaya mata itu empat orang putera dan dua orang puteri.

Gelaran Tengku Ampuan Pahang dikhaskan untuk permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa, yang berdarah raja seperti yang tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Tengku Hassanal Ibrahim, 23, pula adalah anakanda kedua dan putera sulung Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang sedang melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom selama setahun.

Tengku Hassanal diputerakan pada 17 Sept 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dan diisytiharkan sebagai Tengku Panglima Besar Pahang berkuat kuasa 18 Jun tahun lepas. - BERNAMA

Tunku Azizah

Artikel Lain