suria

Mercun meletup di jalan raya cederakan 34 pengunjung Batu Cave

SEKURANG-KURANGNYA 34 orang cedera akibat terkena letupan mercun ketika sambutan Thaipusam berhampiran Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves di sini, Isnin malam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata kejadian dipercayai berlaku apabila seorang lelaki yang datang bersama dua rakannya untuk meraikan perayaan itu membakar mercun di Persimpangan Bertingkat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kira-kira 8.40 malam.

"Tiba-tiba mercun itu yang sepatutnya meletup di udara telah meletup di atas jalan raya, menyebabkan beberapa orang yang berada berhampiran kawasan berkenaan mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita di Batu Caves malam tadi.

Beliau berkata tiga mangsa dihantar ke Hospital Selayang, dua lagi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, seorang mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh manakala 28 lagi dihantar ke klinik kesihatan berhampiran.

Insiden turut menyebabkan tiga kenderaan yang terdiri daripada Nissan Serena, Proton Exora dan perodua Myvi, mengalami kerosakan.

Katanya polis tidak mengeluarkan permit bagi pembakaran mercun atau bunga api pada sambutan Thaipusam.


"Bagaimanapun insiden letupan mercun ini bukanlah suatu perbuatan khianat, tetapi sebaliknya adalah satu insiden yang berlaku secara spontan di mana tujuan suspek membakar mercun untuk meraikan Thaipusam. Kemungkinan mercun itu sudah mencapai tarikh luput," katanya.

Susulan itu, beliau berkata polis menahan lelaki berusia 23 tahun itu yang merupakan seorang penari dan seorang rakannya yang berusia 28 tahun pada pukul 1.00 pagi tadi bagi membantu siasatan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda letupan.-- Bernama   


Batu Caves, mercun

Artikel Lain