suria

Mat Sabu dijangka menghadap Sultan tiga negeri dalam masa terdekat

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu akan menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam masa terdekat.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata sejak memegang jawatan Menteri Pertahanan pada Mei 2018, Mohamad telah menghadap Sultan Muhammad V yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mohamad juga telah menghadap Pemangku Sultan Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Kenyataan itu menyebut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah pihak bertanggungjawab terhadap pertahanan negara dan ia meliputi tiga cabang utama - Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut kenyataan itu, selaras Perlembagaan Negara, institusi raja dijunjung tinggi oleh ATM.

Kesemua sembilan Raja-Raja Melayu merupakan penaung yang bergelar sebagai Kolonel Yang Di-Pertua atau Kepten Yang Di-Pertua sesuatu Perkhidmatan, Rejimen ataupun Kor dalam ATM seperti:
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Kolonel Yang Di-Pertua TUDM.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Kolonel Yang Di-Pertua Kor Armor Diraja (KAD) dan Kor Ordnans Diraja (KOD).

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail selaku Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kepten Yang Di-Pertua TLDM.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Semboyan Diraja (RSD) dan Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD).

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Kolonel Komandan Gerak Khas (GGK).

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Kor Kesihatan Diraja (KKD).

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V selaku Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri Diraja (RAD) dan Kor Risik Diraja (KRD). -- BERNAMA

Artikel Lain