Sultan Johor setuju bertemu, berhubung jika ada isu untuk dibincangkan - PM - Semasa | mStar

Sultan Johor setuju bertemu, berhubung jika ada isu untuk dibincangkan - PM

Sultan Ibrahim (kiri) berkenan bersalaman dengan Dr Mahathir pada pertemuan di Istana Bukit Serene pada Khamis. fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bersetuju supaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan atau menghubungi baginda pada masa hadapan sekiranya mempunyai sebarang isu untuk dibincangkan.

Perdana Menteri berkata perkara terbabit antara yang dicapai oleh beliau dan Sultan Ibrahim, pada pertemuan di Istana Bukit Serene, di sini, Khamis.

“Saya cerita berkenaan dengan rakyat terhadap tuanku dan baginda menerima baik dan kita (Sultan Johor dan Perdana Menteri) bersetuju supaya di masa hadapan tiada masalah dan saya boleh berhubung dengan tuanku,” kata beliau yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini Khamis.

Ditanya intipati lain pada pertemuan selama sejam setengah itu termasuk isu-isu yang dibangkitkan, Dr Mahathir berkata pelbagai masalah dibangkitkan, namun, perkara itu tidak perlu diceritakan kerana ia antara Sultan Ibrahim dan dirinya.

Mengenai sama ada isu perlantikan Yang di-Pertuan Agong baharu turut dibincangkan pada pertemuan itu, Dr Mahathir berkata soal Raja-Raja tidak mempunyai kena mengena dengan diri beliau.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, berkata kali terakhir beliau bertemu Sultan Ibrahim adalah sebelum beliau meletak jawatan Perdana Menteri keempat pada 2003.

“Kita (Sultan Johor dan Dr Mahathir) bercakap normal, macam biasa.

“Saya boleh communicate (berkomunikasi) dengan baginda, kita bersetuju supaya kita franklah… cakap secara terus terang, tiada sembunyi-sembunyi, baginda bagi baginda punya pandangan… saya bagi saya punya pandangan,” kata beliau mengulas lanjut mengenai pertemuan pada Khamis.

Terdahulu, Dr Mahathir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada 3.30 petang Khamis dengan menaiki pesawat khas sebelum tiba di Istana Bukit Serene kira-kira 4 petang untuk menghadap Sultan Ibrahim.

Pertemuan dengan Sultan Ibrahim pada Khamis merupakan yang pertama sejak Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lepas.

Sultan Ibrahim kemudiannya berkenan menghantar sendiri Dr Mahathir ke LTAS dengan memandu kereta Proton Saga edisi pertama berwarna biru dengan nombor pendaftaran Proton 1 yang dihadiahkan Dr Mahathir kepada ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail pada 1985. - BERNAMA

Sultan Ibrahim , Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Siasatan kes kematian Adib Selesai

Artikel Lain