suria

Pergolakan Sudan: ATM sedia hantar pesawat TUDM, bawa pulang 105 pelajar Malaysia

ATM sedia menerbangkan pesawat TUDM ke Sudan. - Gambar hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menerbangkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sudan bagi membawa pulang 105 penuntut Malaysia yang terkandas berikutan pergolakan di negara itu.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata ATM sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini sebelum membawa pulang penuntut terlibat.

“Buat masa ini, mereka diarahkan berehat di rumah di sana dan pihak kedutaan sedang memantau status mereka dan ATM akan menunggu perkembangan terbaharu serta bersedia,” katanya pada sidang media selepas selesai majlis Amanat Panglima ATM kepada warga ATM di Wisma Pertahanan, di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Kedutaan Malaysia di Sudan telah menasihati semua pelajar Malaysia agar tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan politik serta menjauhkan diri dari tempat-tempat awam yang boleh menjejaskan keselamatan mereka seperti dataran dan kawasan pasar.

Antara lokasi yang mempunyai risiko lebih tinggi dan yang harus dielak oleh rakyat Malaysia ialah Souq Omdurman, Souq Al-Araby di Khartoum, Atbara dan al-Gadarif, katanya.

Penunjuk perasaan Sudan melaungkan slogan ketika melakukan protes anti-kerajaan di Khartoum. - Reuters 

Pegawai Konsular Kedutaan Malaysia di Khartoum dilaporkan berkata secara relatif situasi di Sudan stabil dan terkawal selepas beberapa demonstrasi di Khartoum serta beberapa perbandaran lain sejak 19 Dis 2018.

Menurutnya beberapa siri demonstrasi telah berlaku susulan tunjuk perasaan di Atbara, sebuah negeri di Sungai Nil yang terletak kira-kira 348 kilometer dari Khartoum pada 19 Dis, di mana orang ramai turun ke jalanan untuk membantah situasi ekonomi teruk yang menyaksikan bekalan roti berkurangan dan harga meningkat daripada satu paun Sudan kepada tiga paun Sudan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh yang mula beroperasi pada Disember 2017 diteruskan seperti biasa tetapi bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan.

“Setakat ini, hospital itu telah mendapat pujian dan diiktiraf oleh badan-badan dunia yang memberi bantuan termasuklah beberapa negara lain. Operasi hospital berkenaan diteruskan seperti biasa sehingga ATM menerima arahan selanjutnya,” katanya. - Bernama

Sudan, ATM, TUDM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain