suria

Beg galas berjenama jadi tumpuan pada PAT Bersatu

Kakitangan sekretariat menunjukkan beberapa jenis beg galas yang diagihkan kepada perwakilan PAT Bersatu. Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star.

PUTRAJAYA: Beg galas berjenama menjadi tumpuan pada hari pendaftaran Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dianggarkan bernilai RM300 sebuah diberikan kepada beberapa perwakilan pusat yang hadir.

Logo parti turut dicetak di atas beg berjenama Herschel itu yang mempunyai pelbagai warna.

Pegawai sekretariat pendaftaran Hasnul Hadi Ahmad berkata, sebanyak 1,382 beg akan diagihkan kepada perwakilan yang mendaftar pada Sabtu.

"Ini untuk perwakilan yang mendaftar hari ini. Yang telah mendaftar semalam (Jumaat) untuk Pemuda dan Sayap Wanita, mereka menerima fail.

"Saya tidak fikir setiap satu kosnya RM300. Ia biasanya lebih rendah kerana mereka membeli secara pukal," ujar Hasnul.

Sesetengah perwakilan yang mendaftar pada Jumaat turut bertanya kenapa tidak menerima beg galas seperti itu.

Dua perwakilan dari Negeri Sembilan berkata, mereka gembira menerima beg berkualiti itu daripada parti.

"Saya suka. Saya akan menjaganya dengan baik, dengan adanya logo parti," ujarnya yang tidak mahu dikenali.

"Beg apa? Beg galas? Biar saya tengok gambar. Oh, ia cantik," ujar Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila ditanya mengenai beg tersebut.

Semua perwakilan menerima beg kain lembut ketika mendaftar tetapi beberapa perwakilan pusat dilihat menerima beg galas tersebut.

Portal Malaysiakini melaporkan bahawa beg galas itu amat terhad dan hanya diberikan kepada lapan orang perwakilan setiap bahagian.-The Star

Beg galas, PAT

Artikel Lain