Anak lima tahun mati disyaki didera, pasangan suami isteri ditahan - Semasa | mStar

Anak lima tahun mati disyaki didera, pasangan suami isteri ditahan

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Pasangan suami isteri ditahan selepas anak mereka berusia lima tahun maut dipercayai akibat didera.  

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintenden Mohd Afzanizam Yahaya berkata doktor yang merawat mangsa telah membuat laporan polis di balai polis pada hari sama kira-kira pukul 1 pagi.

"Kami telah menahan kedua ibu bapa mangsa berusia antara 23 dan 33 tahun di rumah mereka di Bandar Dato Onn dekat sini kira-kira pukul 11 pagi bagi membantu siasatan berkaitan kes itu," katanya ketika dihubungi.

Kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail oleh ibu bapanya kira-kira pukul 12 tengah malam Rabu.

Namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia ketika di wad kecemasan.

Beliau berkata kesan lebam ditemui dekat badan, muka, dada dan belakang mangsa.

Mohd Afzanizam berkata siasatan awal mendapati ibu tiri mangsa telah mendera kanak-kanak tersebut.

"Kami percaya kanak-kanak itu didera beberapa kali berdasarkan kesan lebam dan kecederaan di tubuhnya. Kami juga mengetahui ibu tirinya adalah warga Indonesia tanpa pasport atau dokumen pengenalan tiada," katanya.

Menurutnya lagi, bapa kanak-kanak itu bekerja sebagai tukang masak manakala ibu tirinya tidak bekerja.

Mohd Afzanizam berkata proses bedah siasat akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian mangsa.

Polis menyiasat kes itu dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

dera , ibu tiri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain