suria

Ditahan beberapa minit selepas ragut beg tangan mangsa

PETALING JAYA: Seorang peragut berusia 28 tahun bernasib malang apabila ditangkap polis hanya beberapa minit selepas meragut beg tangan seorang wanita di hadapan sebuah sekolah menengah di Jalan Gasing, pada Selasa.

Pasukan polis trafik sedang membuat rondaan di kawasan tersebut pada kira-kira pukul 7.40 pagi, ketika terdengar jeritan seorang wanita meminta pertolongan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, polis melihat wanita berkenaan mengejar suspek yang memegang beg tangannya.

"Pasukan polis trafik mengejar suspek di hadapan sebuah kuil Buddha berhampiran.

"Kita berjaya menangkap suspek dan mendapatkan semula barang milik mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah, suspek berasal dari Baling, Kedah.

"Kita akan menyiasat sama ada suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel Lain