suria

Hantar angkasawan kedua negara 2030

Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kini aktif sebagai pakar motivasi

SHAH ALAM: Kerajaan disaran bekerjasama dengan China dalam misi menghantar angkasawan kedua negara pada 2030.

Angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berkata beliau yakin Malaysia mampu melaksanakan kerjasama itu dengan China.

"Saya sarankan kita pergi dengan China kerana sekarang China adalah ‘next frontier in space’. Saya merasakan kita mampu bekerjasama dengan China untuk hantar seorang lagi angkasawan.

"Hubungan saya baik dengan angkasawan-angkasawan daripada China khususnya angkasawan pertama dari China. Saya banyak mendapat jemputan dari China,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas sesi SinarLive di Kumpulan Media Karangkraf, Isnin.

Beliau yang kini aktif sebagai pakar motivasi berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal melakukan sesuatu demi kesinambungan program angkasawan tersebut.

"Setakat ini kita sudah ada 500 manusia yang pergi ke angkasa lepas, 34 negara telah hantar angkasawan mereka tapi 26 daripadanya hanya menghantar seorang angkasawan sebab masalah kos.

"Saya berharap khususnya kepada Tun Mahathir kerana ini visi beliau dan semoga beliau melakukan sesuatu untuk kesinambungan program angkasawan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan angkasawan kedua negara nanti akan membawa objektif berbeza daripadanya.

"Mosti (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) mempunyai pelan tindakan untuk menghantar seorang lagi angkasawan tahun 2030. Kali ini kita kena lakukan sesuatu yang berbeza mungkin kita boleh menghantar seorang wanita yang mampu menjadi inspirasi kepada seluruh wanita di Malaysia.

"Saya berharap program itu selepas ini mempunyai objektif berbeza daripada apa yang saya lakukan. Tak guna kalau kita lakukan perkara yang sama dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Menurutnya, hasil 25 eksperimen yang dijalankan di angkasa lepas pada tahun 2007 bagi mencari penawar penyakit kanser telah pun diterbitkan.

"Sebenarnya ramai yang tak tahu hasil kajian tersebut malah ada yang kata pergi sana untuk berseronok. Itu tidak benar.

"Saya membawa 25 eksperimen melibatkan UKM, UPM, UiTM dan UM untuk mendapatkan penawar untuk pelbagai penyakit termasuk kanser. Semua hasil kajian itu telah dilaksanakan dengan begitu baik sekali, di daftar harta intelek dan telah pun dikomersialkan,” katanya.-Sinar Harian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain