suria

RM2.6 bilion: "Najib boleh kata apa saja, tapi seluruh dunia lebih tahu" - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad. -fotoTHESTAR

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh katakan apa sahaja yang mahu dikatakannya tentang 'RM2.6 bilion adalah sumbangan daripada Arab Saudi', tetapi seluruh dunia lebih tahu.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media ketika ditanya oleh media berhubung pendirian Najib yang bertegas bahawa RM2.6 bilion diterimanya itu sebenarnya sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.

"Sudah tentu beliau akan berkata demikian. Apa lagi yang boleh beliau katakan? Seluruh dunia tahu tentangnya dan Malaysia dikenali sebagai kerajaan kleptokrasi di bawah pimpinannya dan ini diterbitkan di seluruh dunia.

"Beliau boleh kata apa sahaja yang beliau suka. Jika anda mahu percaya, anda dialu-alukan untuk mempercayainya. Apa yang berlaku adalah perlu ada cukup bukti untuk mendakwa beliau, jika tidak beliau tidak akan didakwa," katanya pada sidang media itu selepas menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah di sini.

Baru-baru ini, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata rakan sejawatannya daripada Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan wang yang masuk ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu tidak ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi.

Dr Mahathir menegaskan sekiranya Najib bebas daripada perbuatan rasuah, dengan itu beliau boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang menuduhnya.

"(Sebelum ini) Beliau mengugut mereka tetapi tidak mengambil tindakan. Kini beliau telah didakwa berdasarkan laporan-laporan, bukan sahaja oleh media asing tetapi agensi-agensi di sini.

"Bila anda pindahkan wang, mesti ada rekod. Anda tidak boleh pindahkan berbilion dolar tanpa sebarang rekod. Apabila wang dipindahkan antara bank, walaupun cek, mesti ada rekod," katanya. -Bernama

RM2.6 bilion, Tun M, Najib Razak

Artikel Lain