suria

Ada sabotaj dalam kerajaan punca sukar tangkap Jho Low - Tun M

BALI: Tindakan sabotaj di dalam kerajaan antara sebab Malaysia sukar untuk kenal pasti dengan tepat dan seterusnya memberkas ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau percaya itulah puncanya Jho Low dapat mengelakkan diri daripada ditahan.

"Saya rasa dia bersembunyi di tempat tertentu," katanya ketika ditanya sekiranya terdapat sabotaj dalam kerajaan dengan cara membocorkan maklumat.

"(Tun) Daim (Zainuddin) kata ada orang yang beritahu dia (Jho Low). Ada masanya dia berada di Hong Kong, (tetapi) apabila kami sampai di Hong Kong, dia sudah pun terbang ke tempat lain," katanya di akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin Asean di sini, Khamis.

Daim adalah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada lima anggota, Perhimpunan Pemimpin-pemimpin Asean itu diadakan di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia bertemakan 'Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global'.

Malaysia kini memburu Jho Low untuk membantu dalam siasatan 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB). - BERNAMA

Jho Low, Tun M

Artikel Sebelum

Padah seksa enam kucing!

Artikel Berikut

Artikel Lain