"Sudah-sudahlah..." kata Da'i Wan kepada PU Amin, Caprice - Semasa | mStar

"Sudah-sudahlah..." kata Da'i Wan kepada PU Amin, Caprice

PETALING JAYA: Penceramah muda Da'i Wan menasihati rakannya, Pencetus Ummah (PU) Amin dan penyanyi rap Caprice supaya berdamai.

Wan Dazrin Wan Din berpandangan kedua-dua individu itu perlu bersatu memperjuangkan agama Islam.

"Sudah-sudahlah. Bersatu kita sesama Islam, memaafkan selalu kita sesama Islam. Tersilap itu biasa, namun memaafkan kesilapan itu luar dari kebiasaan.

"Itulah cara Nabi kita Muhammad SAW dan itulah Islam. Tunjukkan pada dunia luar. Kita bersatu bukan dalam dunia realiti sahaja, bahkan dalam medan dunia maya ini," katanya dalam satu posting di Instagramnya pagi Rabu.

Pada masa sama, Wan Dazrin turut menegur agar kedua-dua individu tersebut supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di media sosial masing-masing selepas ini.

"Tetapi ingatlah selalu, ia dimulai dari kita terlebih dahulu, figura Islam yang dikenali. Maka hati-hati dengan setiap apa yang kita 'post', kerana di situ ada rantaian fitnah yang boleh tercipta," katanya.

Posting tersebut ditujukan kepada PU Amin dan Caprice, dipercayai selepas kedua-duanya saling berbalas kenyataan di media sosial berhubung isu bencana tsunami di Palu baru-baru ini.

Wan Dazrin memuat naik posting yang ditujukan kepada PU Amin dan Caprice di Instagram miliknya.

Caprice sebelum ini tidak bersetuju dengan status PU Amin berhubung bencana alam yang berlaku di Indonesia kerana ia mengundang pelbagai andaian netizen kononnya bencana tsunami yang meragut banyak nyawa di Kota Palu, Sulawesi itu kerana terdapatnya komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurutnya, orang ramai sepatutnya menghormati sensitiviti ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam bencana alam itu.

Dalam ruangan komen di posting tersebut, Caprice turut meminta Wan Dazrin supaya turut menegur rakannya itu.

"Dia perlu berhenti menganggap orang ramai menentang Islam hanya kerana kita tidak setuju dengan cara dia dan posting itu dikongsi pada masa yang tidak sesuai," katanya.

Caprice turut mempertahankan tindakannya menegur PU Amin kerana mahu dia lebih peka kepada sensitiviti mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat bencana alam itu.

"Ya, kami semua faham mengenai bala. Namun saya hanya menyuarakan sensitiviti untuk mangsa dan keluarga yang baharu sahaja kehilangan orang tersayang.

"Harap anda boleh menasihati dia," kata Caprice.

Bagaimanapun, netizen turut bersetuju dengan Wan Dazrin yang mahu kedua-dua berhenti mengkritik antara satu sama lain.

@Farrajawy berkata: "@capriceofficial sudah-sudahlah bro. Bak kata P.Ramlee buang yang keruh ambil yang jernih."

@Ohhhamoiisepet berkata: "Saya sokong Dai Wan. Masing-masing sibuk mencari salah hal dunia. Sedangkan kehidupan sendiri masih terumbang-ambing. Sorry to say, but kiamat makin hampir. Enough dari judge life orang."

PU Amin , Caprice , Da'i Wan , tsunami

Artikel Sebelum

Rosmah ke SPRM lagi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain