suria

Kubur CEO Cradle Fund akan digali semula

PETALING JAYA: Kubur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu akan digali semula untuk menjalankan bedah siasat kali kedua.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, abang si mati telah membuat laporan polis pada 24 September lalu memaklumkat tidak berpuas hati dengan hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur.

"Susulan laporan polis itu, kami telah berbincang dengan pihak pendakwaan untuk menggali semula kubur bagi menjalankan bedah siasat kali kedua," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Permohonan berkenaan telah dikemukakan ke mahkamah majistret di sini pada Jumaat lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu dalam kamarnya pada Isnin selepas mendengar permohonan pihak polis yang diwakili pegawai penyiasatnya.

Hasil semakan di mahkamah mendapati bahawa permohonan itu dibuat untuk mendapatkan mayat Nazrin bagi menjalankan bedah siasat kali kedua dan difahamkan proses menggali semula kubur itu akan dibuat pada Rabu ini.

Terdahulu, beberapa anggota keluarga Nazrin tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada 9.40 pagi sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Ketika ditanya media mengenai permohonan berkenaan, pegawai penyiasat kes itu enggan memberikan sebarang maklumat.

Pada 4 September lalu, isteri kepada Nazrin dan bekas suaminya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes, seterusnya pada 9 Sept lalu, turut ditahan reman dua anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun.

Pada 24 September lalu, sepasang suami isteri yang merupakan adik ipar kepada Nazrin pula direman selama empat hari. Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Sebelum ini, Fadzil berkata, kes kematian Nazrin diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menunjukkan wujud kesan petrol di lokasi kejadian, selain berdasarkan hasil bedah siasat.



Cradle Fund, Nazrin

Artikel Lain