suria

Bilik gerakan PKR terima ugutan

Mohd Faisal (tengah) ketika memaklumkan mengenai ugutan yang diterima PKR pada sidang media, Isnin.

PORT DICKSON: Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes ugutan melalui panggilan telefon terhadap bilik gerakan PKR, di Siliau, di sini, Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, laporan itu diterima pihaknya semalam yang mana seorang lelaki telah menghubungi bilik gerakan mengugut meminta wang perlindungan.

Menurutnya, suspek memberitahu akan membuat kacau sekiranya tidak menerima wang perlindungan.

"Bimbang sesuatu tidak diingini, laporan polis telah dibuat dan suspek berjaya dikenalpasti.

"Kita akan memanggil suspek ini dalam masa terdekat untuk rekod keterangan untuk siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Isnin.

Sementara itu, Mohd Faisal turut mengesahkan turut menerima satu lagi laporan, kelmarin, tentang kehilangan beg kamera yang mengandungi mikrofon dan kabel dianggarkan bernilai RM8,000 milik satu agensi berita tempatan.

Dalam pada itu, dalam tempoh dua hari sejak hari penamaan calon, polis Port Dickson telah mengeluarkan empat permit berceramah untuk PRK.

"Tiga permit untuk Pakatan Harapan dan satu lagi untuk Pas. Bagi calon bebas, mereka tidak mengadakan ceramah tetapi lebih kepada perjumpaan dengan penduduk setempat untuk bersoal jawab dan sebagainya.

"Setakat ini, tiada perkara tidak diingini berlaku termasuk pemantauan larangan penggunaan dron," katanya.

Pada hari pengundian nanti, sebanyak 32 pusat undi dengan 171 saluran dibuka bagi memudahkan proses pengundian berjalan lancar.-SinarHarian
Faisal, PKR

Artikel Lain