suria

Anwar bakal bawa tuah kepada PD, Negeri Sembilan

PORT DICKSON: Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang mampu membawa pembangunan yang lebih pesat di kawasan itu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Aminuddin, yang juga Pengerusi PKR dan Pakatan Harapan  negeri berkata selain kawasan berkenaan, tempias kemajuan yang dicapai Port Dickson turut memberi nilai tambah kepada keadaan ekonomi dan sosial negeri.

Menurutnya, disebabkan itu, rakyat perlu memberikan mandat kepada Anwar, yang telah diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR,  untuk mewakili kawasan berkenaan memandangkan beliau bakal diangkat menjadi perdana menteri kelapan.

"Di samping itu juga, apabila Datuk Seri Anwar diangkat menjadi perdana menteri, kita yakin banyak kemudahan serta infrastruktur akan dibawa dan kita mengharapkan  Negeri Sembilan dapat dibangunkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi tiga keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Sungai Raya, di sini.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir sejak dua hari lalu masih kekal 15 orang iaitu 10 dewasa, empat kanak-kanak dan seorang bayi.

Mereka dijangka pulang selepas keadaan cuaca baik dan kerja-kerja pembersihan kediaman yang dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri selesai dilaksanakan Isnin.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68,  untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional  Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Turut menyertai Aminuddin pada lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon, Pengarah  Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Mohamad Hapil dan Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor.-- Bernama 



Anwar, PD, PRK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain