suria

Tiga rakyat Malaysia ditahan polis Thailand bersama 462kg ganja

Pemandangan di sempadan Sadao-Malaysia.

SADAO: Dua lelaki dan seorang wanita rakyat Malaysia ditahan polis Thailand di daerah Sadao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand bersama-sama 462 kilogram ganja, kata Ketua Polis Sadao Kol Sawad Sinsaenyong.

Beliau berkata ketiga-tiga rakyat Malaysia itu dan seorang wanita tempatan ditahan bersama dadah berkenaan di sebuah rumah di Lorong Songchai, Mukim Sanakkam pada kira-kira 5 petang Isnin.

"Maklumat perisikan mempercayai rumah berkenaan digunakan oleh sindiket dadah yang besar di kawasan sempadan. Rumah berkenaan dimiliki oleh seorang pelabur Malaysia," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah trak pikap berdaftar di Malaysia.

Katanya dua lelaki warga Malaysia berumur 31 dan 43 tahun dan wanita  Malaysia berumur 23 tahun serta wanita tempatan  berumur 37 tahun itu mengaku mereka menerima dadah berkenaan di Hatyai dan menyimpannya di rumah berkenaan sebelum bertindak menyeludupnya ke Malaysia.

Katanya, dadah berkenaan disembunyikan dalam 11 buah karung guni seberat 42 kilogram setiap satu. - Bernama

ganja

Artikel Lain