suria

1MDB: Najib saman Peguam Negara, KP SPRM, Amar Singh

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Syukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib selaku pemohon memfailkan tiga saman pemula ex-parte (sebelah pihak) secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Jun lepas menerusi Tetuan Badrul Samad Faik  and  Co, bagi memohon deklarasi bahawa pembabitan ketiga-tiga individu itu selaku responden dalam penyiasatan 1MDB adalah tidak sah dan memprejudiskannya selain memohon kos dan perintah lain yang sesuai oleh mahkamah.

Pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi  Norhatini Abd Hamid pada 16 Julai.

Media memperoleh salinan  saman pemula itu pada Isnin.

Dalam afidavit sokongan yang dikemukakan bersama saman itu, Najib mendakwa Thomas, semasa  belum dilantik sebagai Peguam Negara,   telah menulis sebuah artikel bertajuk ‘Grand Lacerny in 1MDB' pada Julai 2016 dan merumuskan bahawa wang dimasukkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri ketika itu adalah wang 1MDB.

Najib mendakwa, pendirian Thomas melalui artikel itu jelas tidak menyukainya dan melahirkan kebimbangannya bahawa Thomas akan mencari jalan untuk mengenakan satu pertuduhan terhadapnya dengan apa alasan sekalipun selain mendakwa Thomas tidak sepatutnya terlibat dalam siasatan 1MDB.

Bagi saman terhadap Mohd Syukri pula, Najib, yang juga bekas presiden Umno mendakwa Mohd Syukri telah membuat sidang media berhubung SRC International Sdn Bhd sebaik dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan merumuskan bekas perdana menteri itu menerima sejumlah RM42 juta dan RM2.6 bilion sedangkan ketika itu beliau (Najib) belum dipanggil memberi keterangan di SPRM.

"Kenyataan media dibuat Mohd Syukri berunsur dendam dan lebih malang menggambarkan saya sebagai seorang pesalah. Dengan itu, integriti dan profesionalisme beliau boleh dipertikaikan kerana beliau seharusnya bersikap neutral sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi memilih untuk menghukum tanpa asas yang kukuh," kata Najib dalam afidavit sokongannya.

Najib turut mendakwa beliau tidak akan mendapat satu siasatan yang adil dan telus serta percaya sikap yang ditonjolkan Mohd Syukri tidak melayakkan beliau mengetuai pasukan penyiasatan SPRM dan  sebagai anggota pasukan petugas khas 1MDB yang ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Dalam samannya terhadap Amar Singh, Anggota Parlimen Pekan itu mendakwa serbuan yang dilakukan Amar Singh bersama pasukannya di beberapa premis milik beliau termasuk premis didiami anak-anaknya di Pavilion Residence serta premis yang dipinjam daripada seorang rakan untuk menempatkan barangan yang dipindahkan dari kediaman rasmi di Seri Perdana tidak memenuhi Prosedur Standard Operasi (SOP).

Pemohon turut mendakwa Amar Singh tidak layak untuk menjadi penasihat kepada pasukan penyiasatan khas 1MDB selain mendakwa laporan polis telah dibuat secara berasingan terhadap ketiga-tiga responden (Thomas, Mohd Syukri dan Amar Singh). -Bernama

Najib, 1MDM, SPRM, Peguam Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain