Kes khalwat: Pegawai kanan SPRM didakwa beri maklumat palsu - Semasa | mStar

Kes khalwat: Pegawai kanan SPRM didakwa beri maklumat palsu

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Isnin atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu kepada dua kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)  pada Disember tahun lepas berhubung kes khalwat yang dihadapinya.

Bekas pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP), Fikri Ab Rahim, 43, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Beliau didakwa memberi maklumat palsu di butiran nama pasangan dalam borang maklumat peribadi, Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, kepada kakitangan jabatan agama itu, Fatin Afikah Mohamad Mustapa, 28.

Fikri didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat JAIS, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5 di sini, pada kira-kira pukul 4 pagi 16 Dis 2017.

Beliau juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan seorang lagi kakitangan Jais, Mariah Mukhyuddin, 26, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Raja Noor Adilla membenarkan Fikri dibebaskan dengan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin sementara pegawai SPRM itu diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

Pada 3 Mei lepas, Fikri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling atas tuduhan berkhalwat dengan seorang kakitangan SPRM di sebuah kondominium di Seri Kembangan dekat sini, pada Disember tahun lepas.-Bernama

Khalwat , SPRM

Artikel Sebelum

"Kita tidak mahu BTN"

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi