suria

3 September keputusan batal kes saman Musa

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan 3 September depan bagi membuat keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membatalkan saman bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikannya sebagai ketua menteri Sabah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujah daripada peguam yang mewakili kedua-dua pihak pada prosiding pengurusan kes itu pada Isnin.

Mohd Shafie diwakili peguam Datuk Douglas Lind manakala Musa diwakili peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad.

Bercakap kepada pemberita, Tengku Fuad berkata sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Mohd Shafie untuk membatalkan kes saman itu, pihak Musa selaku plaintif akan membuat rayuan.

Bagaimanapun, jika permohonan Mohd Shafie itu ditolak, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan kes saman Musa terhadap Mohd Shafie untuk didengar di mahkamah, katanya.

Pada 5 Jun, Mohd Shafie telah memohon bagi membatalkan saman oleh pendahulunya, iaitu Musa atas alasan bahawa Musa tidak mempunyai sebab munasabah untuk mencabar pelantikannya sebagai ketua menteri pada 12 Mei.

Pada 6 Jun, Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah memfailkan saman baharu terhadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie bagi menggantikan saman yang difailkan 17 Mei lepas, memohon pengisytiharan Musa kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah. - BERNAMA

saman, Musa Aman, Shafie Apdal

Artikel Berikut

Artikel Lain