Muhyiddin mahu laporan penuh kes Siti Kasim - Semasa | mStar

Muhyiddin mahu laporan penuh kes Siti Kasim

Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin  Yassin  hari ini  meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk memberi laporan terperinci berhubung insiden melibatkan peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim atau  lebih  dikenali sebagai Siti Kasim, sebelum mengambil sebarang tindakan.

Muhyiddin dalam satu kenyataan pada Isnin berkata beliau mengambil maklum pandangan orang ramai mengenai tindakan siasatan polis terhadap Siti Kasim berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa yang mengatakan bahawa anak mereka telah diculik.

Beliau juga mengambil maklum mengenai respons Siti Kasim bahawa pada masa tersebut, beliau bertindak sebagai peguam kepada mangsa, katanya.

“Saya bersetuju mengenai hak individu untuk mendapatkan bantuan guaman, dan hak untuk bertindak tanpa dipengaruhi atau diugut oleh mana-mana pihak.

“Walau bagaimanapun, sebagai Menteri Dalam Negeri, saya perlu untuk mengimbangi kepentingan awam dan kepentingan individu, tanpa menganggu siasatan polis,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata beliau mengambil  maklum bahawa permohonan polis untuk menahan reman Siti Kasim telah ditolak oleh mahkamah.

Beliau berkata ia  selari dengan konsep pembahagian kuasa, peranan mahkamah adalah untuk menentukan kesahihan tindakan polis dan untuk mengimbangi segala hak-hak yang telah termaktub di bawah perlembagaan.

Pada Ahad, Siti Kasim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 12.40  pagi kerana dipercayai menghalang tugas penjawat awam susulan laporan polis oleh seorang wanita yang mendakwa peguam itu melarikan anak perempuannya yang berusia 24 tahun pada Khamis lepas.

Wanita berkenaan dikatakan dilarikan ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang sebelum diselamatkan pasukan polis di sebuah unit kondominium di Segambut pada Sabtu malam.

Polis membebaskan Siti Kasim setelah Mahkamah Kajang menolak permohonan reman terhadapnya.

Namun begitu, polis masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dakwaan menculik serta menghalang tugas penjawat awam.- Bernama

Artikel Sebelum

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!

Mas Ermieyati sertai Bersatu

Pilu tiga ibu rayu anak pulang