suria

Siti Kasim ditahan, dakwaan culik...

Gambar fail Siti Kasim.

KUALA LUMPUR: Polis menahan peguam Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim pada Sabtu malam kerana dipercayai menghalang tugas penjawat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor. Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, peguam itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada pukul 12.40 malam susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 24 tahun dilarikan oleh Siti Kassim pada Khamis lepas.

Siti Kassim dikatakan melarikan anaknya ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri oleh doktor di Hospital Kajang.

"Laporan polis juga telah dibuat oleh anggota polis yang mengiring wanita (yang berusia 24 tahun) tersebut berhubung kekecohan yang berlaku di wad pemeriksaan  ketika Siti Kassim menyerbu masuk walaupun cuba dihalang oleh pengawal keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Fadzil berkata susulan itu, pasukan polis telah menyelamatkan mangsa dari sebuah rumah di kawasan kondominium di Segambut kira-kira 9 malam Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa memecah masuk rumah berkenaan kerana mangsa enggan memberikan kerjasama dan menguncikan diri di dalam rumah bagi memastikan dia tidak mencederakan dirinya dan orang lain.

Katanya, mangsa telah dihantar semula ke Hospital Kajang untuk menjalani prosedur pemeriksaan yang tertangguh sebelum ini selain membolehkan pegawai penyiasat mendapatkan keputusan doktor.

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang tugas penjawat awam. - Bernama

Siti Kasim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain