Dakwaan Najib China import barangan bernilai AS$2 trilion tak benar - Semasa | mStar

Dakwaan Najib China import barangan bernilai AS$2 trilion tak benar

Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Isnin mendakwa kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa China komited mengimport barangan bernilai US$2 trilion sebagai sebahagian daripada perjanjian dua projek saluran paip bernilai RM9.4 bilion, sebagai tidak benar kerana tidak ada dokumen seumpamanya.

“Semua pegawai yang ditanya menyatakan dakwaan Datuk Seri Najib itu sebagai tidak benar,” katanya.

Tidak ada sebutan mengenai pelbagai ‘komitmen' yang dibuat oleh China seperti yang dikatakan oleh Najib dalam mana-mana kertas Kabinet pada 2016 dan 2017, yang meluluskan projek Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), kata Lim dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Melainkan ada kertas-kertas Kabinet tertentu yang disembunyikan atau minit-minit ‘merah' Kabinet yang tidak boleh diakses kecuali oleh bekas perdana menteri itu,” katanya.

Najib yang juga bekas menteri kewangan mengeluarkan kenyataan pada 5 Jun, 2018 yang mempertahankan kelulusan pentadbirannya ke atas dua projek saluran paip dan petrokimia bernilai RM9.4 billon kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) oleh SSER.

“Datuk Seri Najib secara sengaja tidak memberi tumpuan kepada persoalan utama skandal saluran paip RM9.4 bilion sebaliknya fokus kepada manfaat yang bakal diperoleh negara apabila menandatangani kontrak RM9.4 bilion itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib mendakwa Perdana Menteri China, Li Keqiang, ‘menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk projek saluran paip itu bersama projek-projek lain semasa di Beijing pada 14 Mei, 2017.

China juga komited mengimport barangan bernilai US$2 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang dari Malaysia, melabur sehingga US$150 bilion di Malaysia serta menawarkan 10,000 tempat latihan dan pengajian di pelbagai institusi di China sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

“Kami juga mendapati ada beberapa sebab tertentu projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek SSER dibentangkan bersama dalam kertas Kabinet yang sama oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika itu untuk kelulusan Kabinet,” katanya.

Ini kata Lee menimbulkan pertanyaan memandangkan projek ECRL dan SSER jauh berbeza dari segi bentuk dan perniagaan, melibatkan pelbagai syarikat, kontraktor dan geografi yang berlainan, walaupun ia dibiayai oleh syarikat yang sama iaitu China EXIM Bank.

"Datuk Seri Najib dengan sengaja enggan menjawab soalan utama mengenai skandal RM9.4 bilion ini tentang mengapa pembayaran sebanyak RM8.3 bilion, yang bersamaan dengan 88 peratus daripada nilai projek, dibuat walaupun hanya 13 peratus kerja progresif telah selesai.

"Kenapa dia membenarkan pengeluaran sedemikian dibuat dalam tahun pertama kontrak 3 tahun?

"Lapan puluh lapan peratus daripada dana telah dikeluarkan walaupun projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) masing-masing merekodkan hanya 14.5 peratus dan 11.4 peratus kemajuan, masing-masing pada akhir Mac 2018, atau purata 13 peratus," kata Lim, sambil menambah kadar penyiapan itu juga masih belum disahkan atau diaudit.

MPP melibatkan pemasangan saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600km, yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson ke Jitra, dengan kos RM5.35 bilion.

TSGP pula melibatkan pembinaan saluran paip gas 662km dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, dengan kos RM4.06 bilion. - BERNAMA

Artikel Sebelum

SPRM serbu pejabat SSER

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain