suria

Dakwa dihalau, dipukul kerana muka iras warga asing

Ambigapathi (kiri) dan Ragupathy Raja Ram menunjukkan MyKad milik mereka.- Foto Ihsan MCA Johor Jaya

PASIR GUDANG: Hanya kerana mempunyai muka seakan warga asing, dua lelaki di sini, mendakwa dipukul selain cuba dihalau ketika mahu mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Johor Jaya 1, di sini, pagi tadi.

Mangsa, A Ambigapathi, 28, dan A Ragupathy Raja Ram, 37, mendakwa perkara itu juga bukan pertama kali dihadapi mereka malah ia turut berlaku ketika PRU yang lalu.

Ambigapathi berkata, dia terkilan dengan kejadian itu kerana dia yang merupakan anak jati kawasan itu hanya mahu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.

“Saya rakyat Malaysia, saya pegang kad pengenalan saya ini. Ini bukan pertama kali PRU lepas pun orang serang saya macam ini. Tetapi dengan bantuan polis akhirnya saya dapat mengundi.

“Kejadian kali ini pun berlaku, masa saya tiba di hadapan dewan dua tiga orang tarik dan menghalang saya untuk mengundi,” katanya, di sini, sebentar tadi.

Difahamkan kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial selepas dikongsi seorang pengguna Facebook.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Katanya, seramai enam lelaki tempatan berusia lingkungan 21 hingga 27 turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana cubaan merusuh.

“Kejadian berlaku di SMK Johor Jaya 1 dan suspek memukul mangsa kerana syak mangsa adalah bukan warga negara yang datang untuk mengundi.

“Semua enam suspek berusia antara 21 hingga 27 tahun sudah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan parah, hanya lebam di bahagian belakang dan pipi. - Sinar Online

PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain