suria

Penamaan calon bagi PRU14 akan bermula

-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung hari ini bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara.

Ia membabitkan sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sarawak telah mengadakan pemilihan anggota DUN pada 2016.

Cuaca pada sebelah pagi diramalkan cerah di kebanyakan negeri.

Namun hujan diramalkan berlaku pada sebelah pagi di Sarawak meliputi kawasan Parlimen Sri Aman, Tanjong Manis, Hulu Rajang, Sibuti, Baram, Lawas, Lubok Antu, Igan, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang, menurut Jabatan Meteorologi.

Hujan turut diramal berlaku di beberapa kawasan di Sabah pada sebelah pagi meliputi kawasan Parlimen Beaufort, Kinabatangan, Sipitang, Sandakan dan Silam serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Di Perak, hujan pada sebelah pagi diramal berlaku di kawasan Parlimen Larut, Bagan Serai, Lumut dan Parit Buntar  manakala kawasan Parlimen Semberong di Johor turut diramal hujan pada sebelah pagi.

Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu bagi memberi laluan kepada PRU14 yang disifatkan pemerhati poltik sebagai ‘ibu segala pilihan raya' akan menyaksikan pertembungan utama antara BN yang ditunjangi Umno dan pakatan pembangkang yang diketuai oleh DAP.

Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon hari ini dan pengundian awal pada 5 Mei dan hari pengundian 9 Mei.

Sehari sebelum hari penamaan calon, Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata calon-calon BN yang disenaraikan untuk PRU14 telah dinilai dengan rapi sejak lima tahun lepas dan bukannya baru dinilai sejak "sebulan dua ini".

Beliau menegaskan BN telah mengambil kira prestasi calonnya yang telah menjalin hubungan dengan masyarakat setempat dan sokongan yang diterima rakyat.

Apa yang ditawarkan kepada pengundi, kata beliau, ialah calon-calon yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada asas pembinaan negara berbilang kaum ini dengan bilangan penduduk lebih 30 juta.

Najib akan mengemukakan kertas pencalonannya di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan dalam misinya mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976.-Bernama

PRU14, penamaan calon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain