suria

Hari penamaan calon PRU14 Sabtu

Sebahagian daripada petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Bahagian Parlimen Seremban sibuk melakukan persiapan terakhir untuk Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Penamaan Calon Bahagian Pilihan Raya Parlimen Seremban P.128 di Dewan Serbaguna Wisma Negeri pada Jumaat. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung pada Sabtu di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya terdiri daripada pejabat daerah, pejabat tanah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh Malaysia.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengetuai BN bagi kali kedua dalam pilihan raya umum, berkata calon-calon BN yang disenaraikan untuk PRU14 telah dinilai dengan rapi sejak lima tahun lepas dan bukannya baru dinilai sejak "sebulan dua ini".

Perdana menteri dalam komennya mengenai calon BN pada pilihan raya umum kali ini yang disifatkan sebagai ‘ibu kepada segala pilihan raya‘, menegaskan gabungan tersebut telah mengambil kira prestasi calon berkenaan yang telah menjalin hubungan dengan masyarakat setempat dan sokongan yang diterima rakyat.

Apa yang ditawarkan kepada pengundi, kata beliau, ialah calon-calon yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada asas pembinaan negara berbilang kaum ini dengan bilangan penduduk lebih 30 juta.

Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu bagi memberi laluan kepada PRU14 yang akan menyaksikan pertembungan utama antara BN yang ditunjangi Umno dan pakatan pembangkang yang diketuai oleh DAP.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  menetapkan hari pengundian pada 9 Mei,  tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

Calon-calon akan berkempen selama 11 hari bermula tarikh penamaan calon dan akan berakhir pada 11.59 malam, 8 Mei.

Mengikut daftar pemilih suku tahun keempat 2017 yang diwartakan pada 10 April,  jumlah pengundi adalah 14,940,624, dengan jumlah pengundi lelaki  7,383,437 (49.42 peratus) an pengundi perempuan 7,557, 187 (50.58 peratus).-Bernama

PRu14, Penamaaan calon

Artikel Berikut

Artikel Lain