suria

Isteri Allahyarham Fadi pulang ke Palestin selamanya

Enas Albatsh dan anaknya Mohammed Albatsh. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Berikutan insiden pembunuhan pensyarah dan imam warga Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang menggemparkan negara pada Sabtu lalu, isteri Allahyarham berkata, beliau dan tiga anaknya akan kembali ke tanah air mereka di Palestin untuk selama-lamanya.

Bagaimanapun Enas Al Batsh, 31, berkata, akan memenuhi hasrat arwah suaminya supaya beliau meneruskan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD).

Enas turut menyifatkan Allahyarham yang ditembak mati ketika berjalan menuju ke surau dekat kondominium mereka di Setapak untuk mengimamkan solat Subuh, sebagai seorang yang mengutamakan pendidikan.

"Saya masih ingat suami saya berkata, anda telah bersabar menunggu saya menamatkan pengajian PhD, dan saya akan menunggu anda meneruskan pengajian PhD.

"Beliau bersungguh-sungguh meminta saya menamatkan pengajian,” katanya kepada media meneusi temubual pertamanya susulan insiden pembunuhan itu pada Selasa lalu.

Bercakap menerusi penterjemah, Enas berasa amat sedih atas pemergian suaminya, berkata beliau telah mendaftar untuk mengikuti program PhD di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan akan meneruskan pengajian secara dalam talian.

Enas juga menghargai kesanggupan Allahyarham Fadi yang berkorban demi pendidikan anak-anak mereka.

Wanita yang mengenakan jubah berwarna biru ketika sesi bersama media, ditemani anak lelakinya berusia satu tahun, Mohammed dan adik iparnya, Ramy Al Batsh, 28, yang tiba di Malaysia dari Jerman.

Dengan tutur kata yang sebak, Enas berkata, beliau telah menetap di Malaysia sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, keluarganya sudah merancang untuk bercuti di Malaysia sebelum arwah suaminya ditembak mati.

Beliau menyifatkan Allahyarham Fadi, 35, sebagai suami yang baik dan penyayang dengan sikap yang positif.

Jenazah Allahyarham dijangka diterbangkan ke Mesir dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL kira-kira 7 malam Rabu sebelum dibawa ke Gaza melalui jalan darat.

Sementara itu, Ramy menyifatkan Allahyarham abangnya sebagai seorang yang luar biasa dan baik hati, dan menjadi guru kepada orang di sekeliling.

Dalam pada itu, Ramy mengecam mereka yang membunuh abang tersayangnya yang merupakan bapa kepada dua anak perempuan – Doaa, 6, dan Aseel, 4.

“Pelaku insiden itu harus dibawa ke pengadilan dan dikenakan hukuman yang paling berat," katanya.

Beliau berkata, Allahyarham Fadi yang menghafal al-Quran, adalah seorang insan biasa dan disukai ramai termasuk mereka yang bukan Islam.

"Tidak dapat dibayangkan bahawa arwah boleh mencederakan orang lain yang menyebabkan beliau dibunuh, “ katanya.

Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa abangnya itu ialah pakar pembuat roket. - Bernama

Fadi Mohammed Al Batsh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain