suria

Faizal ‘Iron Man Temerloh’

Faizal bersama sebahagian koleksinya yang kini mencecah nilai lebih RM30,000.

TEMERLOH: Sebut apa sahaja... pakaian, beg, kasut, helmet, kereta, jam tangan, cermin mata, tali pinggang, sarung telefon pintar, malah cadar pun bertemakan karakter kesayangan, Iron Man.

Keterujaan terhadap karakter adiwira terkenal dunia dari Marvel Comics menjadikan Pembantu Tadbir Unit Pendidikan Pesakit Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, Mohd Faizal Muda, 34, dikenali sebagai Iron Man Temerloh.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini turut memiliki dua sut adiwira popular itu yang ditempah khas untuk memenuhi kepuasannya.

Bermula dengan hanya memiliki helmet bernilai RM800, Mohd Faizal kini sudah membelanjakan lebih RM30,000 membeli sut adiwira itu melalui dalam talian dari sebuah syarikat di United Kingdom sejak 2008.

Menurutnya, minat terhadap karakter itu bermula sejak kecil dan yang diterjemahkan ke layar filem oleh pelakon Hollywood terkenal, Robert Dawney Jr itu yang gila-gila, namun genius memikat perhatiannya.

“Selepas bekerja dan stabil, saya rasakan sudah masanya saya kumpul koleksi karakter kesayangan ini dan menjadikannya sebagai hobi nombor satu.

Bukan sahaja sut lengkap, kereta Faizal juga bertema adiwira kesayangannya itu.

“Selepas berjaya dapatkan helmet tersebut saya terjemahkan hobi ini ke atas kereta Proton Wira milik saya dan banyak memenangi pelbagai anugerah pada car show seluruh negara,” katanya yang masih bujang.

Bercerita lanjut, pada 2014 dia mulakan misi mengumpul pelbagai koleksi adiwira tersebut.

Menurutnya, dia menempah sut lengkap karakter itu yang pertama dari Filipina bernilai RM4,500 dan terbaru dari sebuah syarikat di negara ini dengan harga RM5,000.

Ujar anak keenam daripada sembilan beradik itu, dia turut menerima jemputan menghiburkan kanak-kanak di hospital dan sekolah selain menyertai program kempen derma darah dan majlis amal.

Antara koleksi Iron Man milik Faizal.

“Saya hiburkan kanak-kanak khususnya yang teruja bila melihat watak kesayangan mereka di depan mata.

“Buat masa ini pelbagai pihak menjemput saya. Antaranya dari Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan semuanya dilakukan bila waktu terluang dan tugasan selesai,” katanya.

Mohd Faizal juga bersyukur kerana keluarga dan majikannya memahami asalkan tugasan hakiki tidak terganggu.

Dalam pada itu, katanya, penjagaan koleksi itu tidak sukar kecuali sut khasnya itu perlu diberi sedikit perhatian.

“Ada masa terluang saya mencuci dan membaiki sendiri. Saya dapat banyak ilmu dan perkongsian maklumat daripada kawan-kawan menerusi kumpulan The Ultimate Cosplayer.

“Memang sesiapa nak mengumpul koleksi dan membeli kena banyak bertanya dan mengkaji agar tidak mudah tertipu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal turut mengumpul koleksi adiwira Marvel yang lain seperti Captain America dan Thor, bagaimanapun tidak sebanyak Iron Man.

“Saya akan terus mengumpul koleksi ini selagi mampu dan harap akan jadi satu kenangan manis sepanjang hidup,” katanya.

Iron Man

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain