suria

Dilema Si Jelita Kudung Empat Jari

SEOUL: Biarpun kehilangan empat jari tangannya, seorang wanita jelita dari Malaysia tetap mahu bertahan di negara ini bagi menuntut haknya daripada majikan di sini.

Bekas pramugari yang menggunakan visa pelancong untuk bekerja sebagai buruh haram di Korea Selatan ini ditimpa kecelakaan ketika bekerja di sebuah kilang besi.

Sally (bukan nama sebenar) yang hidup sebatang kara di rantau orang mendakwa pampasan yang diberikan majikan tidak setimpal dengan kecacatan kekal yang dialaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pramugari Kilang Besi’ Hilang Jari

Dakwanya, pihak majikan hanya membayar bil rawatan perubatan dan ganti rugi sebanyak 27 juta won (RM100,000) selepas dia melaporkan mengenai insiden itu di pejabat buruh.

Keadaan jari Sally selepas dua hari mengalami kemalangan di kilang (kiri). Keadaan terkini jarinya (kanan).

“Saya dapat rawatan, duit bulanan dan pampasan. Tapi semua itu saya dapat selepas dibantu seorang aktivis Malaysia yang memperjuangkan hak pekerja seperti kami di sini.

“Saya cuba mendapatkan pandangan rakan-rakan termasuk rakyat tempatan dan mereka mendakwa nilai pampasan yang sepatutnya adalah lebih 40 juta won (RM148,000),” katanya ketika ditemui di Itaewon di sini.

Bagi mendapatkan kepastian, wanita berusia 27 tahun itu turut bertemu beberapa peguam tempatan berhubung kes tersebut.

Dakwanya, peguam terbabit memaklumkan bahawa hak kemanusiaan bagi setiap individu yang berada di negara ini adalah sama, walaupun mereka bekerja tanpa permit sah.

Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut merayu agar mana-mana pihak dari Malaysia tampil membantunya untuk melawan kesnya di mahkamah supaya nasibnya terbela. 

Bagaimanapun, Sally masih dalam dilema untuk membuat pilihan yang terbaik demi masa depannya.

Keadaan terkini jari Sally yang kudung selepas mengalami kemalangan di tempat kerja.

Jelasnya, dia terpaksa memilih sama ada menerima gaji (walaupun tidak bekerja) pada setiap bulan untuk seumur hidup atau dibayar dengan jumlah tertentu dan pulang ke Malaysia.

“Saya masih di sini sebab saya nak tahu mana satu yang terbaik. Mungkin, rakyat Malaysia fikir nilai 27 juta won (RM100,000) yang saya terima itu sangat banyak, tapi sebenarnya ia ibarat RM27,000 sahaja di sini.

“Dengan hilang empat jari… tak tahu kerja apa yang saya boleh buat lepas ini,” ujar Sally sambil menambah bahawa pampasan yang diperolehi tidak dapat mengembalikan jarinya, namun dia harus berjuang untuk mendapatkan haknya.

Bekas pramugari itu terpaksa mencari pekerjaan baharu selepas syarikat penerbangan yang disertainya berdepan masalah dan dia antara sejumlah besar yang diberhentikan kerja.

Sally yang mula merantau ke Korea sejak Oktober 2016 terpaksa membayar sebanyak RM5,000 kepada seorang ejen yang berjanji untuk mendapatkannya pekerjaan di negara K-pop itu.

Setakat ini, jumlah rakyat Malaysia yang menjadi buruh haram di negara ini sekitar 3,000 sejak 2016. Mengikut laporan Korean Herald, bilangan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Korea Selatan mencecah 251,000 orang.

Artikel Lain