suria

Padah GRO Menari Ghairah

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Sekumpulan pelayan pelanggan (GRO) warga asing bukan sahaja ligat menari malah mereka juga sedang asyik melayan pelanggan dengan aksi ghairah dan seksi.

Itu suasana dapat dilihat semasa sepasukan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menyerbu pusat hiburan di Jalan Burmah di sini, Sabtu malam.

Jurucakap polis berkata semasa serbuan, ada antara wanita warga asing berkenaan cuba mengelak daripada ditahan dengan bersembunyi dalam tong ais, namun gagal.

"Dalam serbuan kira-kira 11 malam itu, wanita warga asing yang ditahan bukan sahaja berkelakuan tidak sopan di tempat awam malah pemeriksaan juga mendapati mereka turut menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO," katanya di sini, Sabtu.

Jurucakap polis itu berkata dalam Ops Noda tersebut, polis menahan 21 wanita warga asing terdiri daripada 14 warga Vietnam dan tujuh rakyat China yang bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan.

Katanya, operasi itu hasil intipan dan maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti persundalan di pusat hiburan berkenaan kerana terdapat GRO di situ dipercayai turut  menawarkan khidmat seks dengan bayaran serendah RM100.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah ketika dihubungi mengesahkan penangkapan berkenaan dan kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 dan 30 tahun.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi. - Bernama

GRO

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain