suria

Jenazah Sanusi Junid Selamat Dikebumikan

Allahyarham Sanusi Junid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada petang Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, pada kira-kira pukul 3 petang.

Terdahulu, jenazah Sanusi dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Damansara sebelum disolatkan selepas solat Jumaat.

Sanusi, 74, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Pantai Dalam di sini kira-kira 6 pagi Jumaat dengan meninggalkan seorang isteri Puan Seri Nila Inangda Manyam Keumala dan tujuh anak, empat perempuan dan tiga lelaki.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981 dan Menteri Pertanian pada 1986 sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 1996 hingga 1999.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada anggota keluarga dan sahabat terdekat berada di tanah perkuburan bagi pengebumian jenazah Allahyarham Sanusi.

Turut  kelihatan di tanah perkuburan ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom dan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim. - Bernama

Sanusi Junid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain