suria

McNuggets Jual Online, Ini Jawab McDonald's!

PETALING JAYA: Penjualan produk makanan yang didakwa McNuggets yang dibuat secara terbuka di laman sosial baru-baru ini mendapat perhatian McDonald's Malaysia yang tampil memberikan kenyataan rasmi berhubung isu ini.

Menerusi satu kenyataan ringkas kepada mStar Online, McDonald's Malaysia menafikan nugget yang dijual oleh peniaga atas talian itu merupakan nugget sama yang dijual di rangkaian restoran mereka.

"Berdasarkan pembungkusan pek nugget dalam posting Facebook yang disiarkan, kami boleh sahkan bahawa nugget tersebut bukan nugget yang dibuat eksklusif oleh MacFood Services (M) untuk McDonald's Malaysia," demikian kenyataan yang dihantar pada Rabu.

Menerusi kenyataan yang sama, McDonald's juga memaklumkan pihaknya sedang giat membuat pemantauan untuk tindakan selanjutnya.

Pada 7 Februari lalu, mStar Online melaporkan tentang penjualan nugget yang didakwa 100 peratus sama dengan McNuggets oleh kumpulan peniaga di laman Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Nugget McDonald's Dijual Online?

Salah seorang peniaga yang menawarkan nugget berkenaan turut mengakui bahawa dia mengambil sendiri stok makanan berkenaan daripada pembekal rasmi rangkaian restoran popular itu iaitu MacFood.

Dia turut menggesa pelanggan supaya membeli dan mencuba sendiri nugget berkenaan bagi memastikan ia adalah McNuggets asli.

Dalam pada itu, pihak MacFood sewaktu dihubungi minggu lalu menafikan dakwaan itu.

Ujar mereka, nugget berkenaan dikeluarkan eksklusif untuk McDonald's sahaja dan tidak dijual kepada pihak lain.

Menerusi posting terbuka di laman Facebook, nugget berkenaan dijual pada harga RM25 sekilogram dengan setiap paket mengandungi 50 ketul hidangan itu.

McNuggets, McDonald's, nugget

Artikel Sebelum

Artikel Lain