suria

Penipuan Forex: Polis Tahan Tiga 'Datuk'

KUALA LUMPUR:  Polis menahan tiga individu bergelar ‘Datuk' dan memburu sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan tukaran wang asing atau forex melibatkan kerugian hampir RM1 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.

“Setakat ini, kami telah menerima 116 laporan melibatkan sindiket ini  (berhubung sejumlah mangsa) yang telah mengalami kerugian RM 6.2 juta namun, kami menganggarkan 70,000 mangsa telah terlibat hingga mencecah kerugian bilion ringgit. Skim ini bermula pada hujung tahun 2013 hingga Ogos 2016 yang menggunakan laman web yang berdaftar di luar negara,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat JSJK, Bukit Aman, pada Rabu.

Suspek-suspek ini memperdayakan mangsa untuk menyertai pelaburan berkonsepkan pertukaran mata wang asing serta mengaburi mangsa dengan mengadakan seminar di hotel-hotel, menawarkan jaminan keuntungan 12 peratus setiap bulan, menggunakan syarikat yang berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM) dan melibatkan penganjur atau pengurusan atasan yang bergelar Datuk.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan kemas dan  kenderaan mewah termasuk sebuah banglo yang dianggarkan bernilai RM10.5 juta.

Ketiga-tiga suspek yang berumur 35 hingga 49 tahun itu kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poka) dan kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganas  (2001).

Tambahnya, polis kini giat memburu lagi dua suspek yang dikenali sebagai Datuk M Pandeyan dan Datin F C Gouri yang merupakan pasangan suami isteri, dipercayai dalang sindiket ini yang masih bebas.

F C Gouri dan M Pandeyan (kanan).

Katanya, kedua-dua suspek yang masih bebas ini dipercayai telah ke luar negara pada Ahad lepas dan pihaknya akan meminta bantuan negara jiran bagi menahan suspek.

Amar turut menasihati orang ramai agar tidak terjebak dengan pelbagai tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dalam tempoh masa singkat dan menggesa agar mendapatkan pengesahan mana-mana agensi berkaitan sebelum menyertai skim pelaburan.-Bernama

Penipuan Forex.

Artikel Berikut

Artikel Lain