suria

Siasat Kes Pelajar Terkena Bilah Pemotong Rumput - Mahdzir

Mahdzir Khalid.

ALOR SETAR: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan siasatan penuh berhubung insiden seorang pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman di Gemas, Negeri Sembilan, yang maut terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu pagi Selasa.

Katanya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana sewaktu kejadian, sekolah berkenaan sedang mengadakan raptai hari sukan.

“Saya dah minta satu siasatan penuh bagaimana kejadian ini boleh berlaku sewaktu raptai hari sukan sekolah, biarlah siasatan penuh antara sekolah dan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, Selasa.

Mahdzir berkata, pihak sekolah mahupun kontraktor pembersihan sepatutnya peka dan melihat dari  aspek keselamatan sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan dengan menggunakan traktor mesin rumput di padang sekolah itu.

“Saya kira perlu ada pertimbangan wajar antara pengetua dan guru besarlah, bila jentera berkaitan pembersihan digunakan dan ada pelajar di padang sekolah tak perlulah mengendalikan mesin itu, ini peristiwa yang sangat menyedihkan dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi Selasa, Nur Afini Roslan, 14, maut  manakala dua lagi pelajar lelaki,  Abdullah Hazlan, 14, pelajar tingkatan dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar tingkatan satu, turut cedera.

Nur Afini maut selepas kepalanya terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang sedang memesin rumput di padang sekolah itu.

Abdullah pula cedera di bahagian telinga kanan, sementara Mohd Farhan Reza cedera di bahagian belakang kepala dan mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas untuk rawatan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa berada di padang sekolah itu ketika pemandu  traktor berkenaan sedang menjalankan kerja memesin rumput. - Bernama

mesin rumput

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain